Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak ke-13 di Istana Iskandariah pada jam 3.45 petang tadi.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Istiadat angkat sumpah itu sekali gus mengakhiri persoalan dan teka-teki selama tiga hari mengenai siapakah yang akan menduduki kerusi itu selepas beliau melepaskan kerusi itu pada Selasa lalu.

Istiadat bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum Ahmad Faizal mengangkat sumpah dengan disaksikan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Ahmad Faizal, yang juga dikenali sebagai Peja, menewaskan lawannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Choong Shin Heng dari Barisan Nasional (BN) dan Nordin Hassan dari Pas dengan majoriti 39 undi.

Selepas Perikatan Nasional (PN) Perak mengumumkan mempunyai majoriti 32 kerusi, wujud pula teka teki siapakah bakal Menteri Besar apabila tiga nama dipersembahkan kepada Sultan Nazrin untuk dipertimbangkan.

Selain Ahmad Faizal, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.