KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Farhash Wafa Salvador akan membuat laporan polis terhadap Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana didakwa memfitnah beliau.

Menurut satu kenyataan, Farhash Wafa berkata beliau juga merizabkan haknya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal kerana mengaitkan dirinya dengan usaha menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang kepada Perdana Menteri.

"Pertama sekali, saya dengan sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan-tuduhan fitnah yang tidak benar dan tidak berasas yang dilontarkan terhadap saya.

"Saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dakwaan tidak benar dan tidak berasas oleh Wan Fayhsal tersebut," katanya pada Selasa.

Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang dalam sidang media di Parlimen mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik sokongan wakil rakyat pembangkang kepada Anwar.

Dakwa Wan Fayhsal, individu terbabit dikenali sebagai “Datuk Botak” dan seorang bekas setiausaha politik.

Mengulas lanjut, Farhash Wafa berkata tuduhan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan tanpa sebarang bukti langsung.

Farhash Wafa menambah, kenyataan Wan Fayhsal jelas menyatakan bahawa beliau telah dijadikan sebagai alatan politik untuk menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk kepentingannya sendiri.

"Saya sudah lama tidak terlibat dengan kancah politik, dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

"Saya tidak faham mengapa saudara Wan Fayhsal telah melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau," katanya lagi.

Sebelum ini, empat Ahli Parlimen daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Susulan itu, Bersatu dilaporkan akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) kerana mendakwa wujud unsur habuan, umpan atau ugutan agar Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan sokongan Anwar.

Begitu pun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika menjawab soalan asal Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) di Dewan Rakyat hari ini, berkata tiada aduan dibuat kepada polis mahupun SPRM berkait dakwaan terbabit.

Saifuddin Nasution juga memberi jaminan bahawa polis akan segera membuat siasatan sekiranya terdapat laporan ataupun tuduhan individu.