MUAR : Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mendakwa ‘fatwa’ politik yang dibawa oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan berubah pada setiap pilihan raya sehingga sanggup berbohong dan menyembunyikan fakta.

Beliau berkata, malahan dakwaan kononnya keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP kerana parti itu menolak hudud juga hanyalah alasan yang sengaja direka untuk memanipulasi rakyat.

Sebaliknya, beliau mendedahkan, kata sepakat berkaitan isu hudud antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat telah pun dipersetujui dan keputusan Pas meninggalkan DAP adalah kerana mereka mahu mewujudkan kerjasama Kerajaan Perpaduan bersama UMNO selepas pilihan raya umum (PRU) pada 2013.

“Menjelang PRU-13 isu hudud bergema di Malaysia dan perbincangan khas antara pemimpin Pakatan Rakyat berlangsung di Pejabat Pas di Jalan Raja Laut yang mana di pihak Pas di hadiri oleh Abdul Hadi, saya dan beberapa pemimpin.

“Pemimpin DAP yang hadir ialah Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anthony Loke Siew Fook dan ada lagi yang saya tidak ingat, manakala PKR ada Datuk Seri Saifuddin Nasution.

“Dalam perbincangan itu akhirnya keputusan dicapai iaitu ‘agree to disagree’ yang mana kita bersetuju untuk melawan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menentang rasuah dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan mesti dijulang bersama dan tidak bersetuju soal hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Khas Membongkar Pembohongan Hadi Awang di Taman Sri Kaseh, di sini, pada malam Isnin.

Mengulas lanjut, katanya, kerjasama itu kemudian diteruskan dalam PRU-13 dengan slogan ‘agree to disagree’ dan pada pilihan raya itu kerjasama itu kekal menang di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan tewas di Kedah sebelum Pas melalui perbincangan Muktamar Pas pada 2015 kemudian mengisytiharkan akan memutuskan hubungan kerjasama dengan DAP .

Justeru, tegas beliau, tidak timbul soal hudud selain mendedahkan Pas juga pernah akur dengan kehendak DAP yang tidak mahu konsep negara Islam diguna pakai dan Pas bersetuju menggantikannya dengan negara berkebajikan (welfare governance).

“Menjelang pilihan raya tahun 2008 lalu, usaha menggabungkan kerjasama Pas, DAP dan PKR berterusan dibuat pelbagai pihak.

“Ini beliau tidak cerita yang mana DAP minta negara Islam tidak boleh disebut dan Pas bersetuju menggantikannya dengan negara berkebajikan, Pas sanggup gugur negara Islam, istilah itu diganti dengan negara berkebajikan,” tambah Mohamad.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan sudah pasti beliau mengingati setiap peristiwa yang berlaku dalam parti itu.

Katanya, secara peribadi, beliau menghormati pemimpin tertinggi Pas itu namun pembohongan yang dilakukan terlalu melampau dan tidak boleh diterima.