GEORGE TOWN: Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kerajaan yang stabil, utuh dan berfungsi untuk terus mentadbir negara ini.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fokus kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi, membantu serta menjaga kebajikan rakyat terutamanya selepas pandemik COVID-19.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri enggan memberikan sebarang maklum balas lanjut terhadap desas-desus kononnya Kerajaan Perpaduan ketika ini bakal tumbang.

Sebaliknya melihat perkara berkenaan bukan satu ancaman sebaliknya percaya dengan kredibiliti Kerajaan Perpaduan ketika ini.

"Saya hendak tegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar ini compact, intact and functional, saya tidak menganggap sebagai satu ancaman dan saya juga tak cadang nak respons terhadap apa juga desas-desus di luar sana.

"Fokus kami sekarang adalah untuk pulihkan balik ekonomi bantu rakyat terutama selepas post COVID, kestabilan politik, memakmurkan ekonomi kemudian memberi kebajikan rakyat dalam fokus kami sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah portal berita yang mendakwa terdapat percubaan untuk menggulingkan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan berkenaan menyatakan gerakan itu disertai oleh beberapa ahli Parlimen yang mana sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Terdahulu, Saifuddin meninjau dan menyampaikan bingkisan raya kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang bertugas sempena Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Burau di George Town pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) yang memangku tugas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin, Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Abd Razak Mohamed.