MELAKA: Fungsi, dasar dan pelaksanaan agenda kerajaan negeri Melaka berjalan seperti biasa tanpa campur tangan mana-mana parti politik susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, malahan produktiviti perkhidmatan awam negeri itu juga dipertingkatkan bagi memberi fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Saya beri komitmen penjawat awam di Melaka samada daripada persekutuan dan juga di bawah negeri, kita sebenarnya bergerak di bawah satu pasukan.

“Walaupun DUN telah dibubarkan, kita kena pastikan denyut nadi negeri Melaka ini terus bergerak dan kita perlu pastikan setiap program dilaksanakan menyentuh rakyat,” katanya selepas meninjau proses vaksinasi COVID-19 masyarakat orang asli di balairaya Taman Kejora, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas tindakan pihak tertentu mencabar keabsahan kerajaan sementara Melaka yang dibentuk susulan pengumuman pembubaran DUN ujarnya, ia akan dinilai menerusi proses perundangan negeri.

Katanya, penilaian itu akan dibuat bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat negeri itu terutamanya melibatkan proses vaksinasi dan agenda pelancongan tidak tergugat.

“Saya pasti kita ada perlembagaan negeri dan  sistem perundangan kita akan dilihat daripada pelbagai sudut.

“Tentunya pihak terlibat sudah ada rujukannya. Namun saya percaya penjawat awam akan terus berkhidmat supaya agenda kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi Melaka berjalan seperti biasa,” tambahnya.

Terdahulu, DUN Melaka terpaksa dibubarkan selepas mendapat persetujuan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Berdasarkan Perkara 19 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, apabila DUN dibubarkan, satu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari.