KUALA LUMPUR: Kegagalan Kabinet menukar semula dasar kabotaj negara dalam tempoh dua minggu merupakan lambang kegagalan kerajaan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan Guan Eng mendakwa, dasar itu perlu ditukar demi untuk menyelamatkan masa depan digital dan pelaburan berteknologi tinggi negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion.

Guan Eng juga mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengutamakan masa depan digital negara demi memastikan dua Ahli Parlimen MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri Wee Jeck Seng terus memberikan sokongan.

"Kerajaan PN telah gagal dalam ujian untuk mengutamakan masa depan digital Malaysia dengan memberi keutamaan kepada masa depan politik mereka sendiri, semata-mata bagi menjaga air muka Wee demi memastikan sokongan dua Ahli Parlimen MCA Wee kepada PN.

"Pelaburan digital Malaysia bernilai RM12-15 bilion tidak sepenting dua-dua Ahli Parlimen MCA, kritikal bagi kerajaan PN yang tidak mampu kehilangan mana-mana Ahli Parlimen selepas kehilangan majoriti Parlimen," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Guan Eng turut menempelak Ka Siong yang didakwa enggan meneruskan dasar kabotaj PH hingga menyebabkan Facebook dan Google mengetepikan Malaysia, apabila kebimbangan mereka mengenai kelewatan sehingga 27 hari untuk pembaikan kabel bawah laut tidak diendahkan.

Tambah beliau, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff secara terbuka menyalahkan Ka Siong yang membatalkan pengecualian kabotaj telah menyebabkan Malaysia diketepikan oleh Facebook dan Google dengan memilih Singapura dan Indonesia.

"Rais menambah bahawa turut disemak semula adalah pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion pelaburan asing," katanya lagi.

Guan Eng berkata dalam mesyuarat Kabinet pada 14 April, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberikan tempoh dua minggu kepada enam Kementerian yang berbeza untuk mengkaji semula kesan dasar kabotaj negara ini terhadap industri digital dan perkapalan.

"Sekarang tempoh dua minggu sudah tamat, namun masih tiada sebarang berita tentang masa depan digital negara. Tiada sebarang tindakan terhadap hasil kajian semula ini adalah perkara biasa bagi sebuah kerajaan yang gagal," katanya lagi.