KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima dan mengutamakan kepentingan Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai sebuah parti tempatan, tidak bermaksud pihaknya menolak agenda nasional atau membelakangkan kepentingan negara.

"Malaysia adalah tanah air kita. Namun, sebagaimana matlamat asal kita membina Malaysia adalah untuk merubah tahap pembangunan rakyat dan bumi Sabah.

"Hari ini, iaitu tahun 2023 sempena ulang tahun ke-60 tahun pembentukan Malaysia, kami yakin dan percaya bahawa platform tempatan adalah yang terbaik untuk Sabah.

"Kita memilih dan memutuskan bahawa formula tempatan berupaya melonjakkan agenda perjuangan dan kepentingan negeri dalam dalam Persekutuan Malaysia.

"Kita mahu pelaksanaan sistem federalisme yang lebih bernilai dan bermakna dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Khas (EGM) Parti Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, apa yang penting adalah untuk Sabah mendapat pengiktirafan dan pelaksanaan hak kuasa serta kedudukan istimewa.

"Apa yang lebih penting bagi kita ialah mendapat pengiktirafan dan pelaksanaan hak, kuasa serta kedudukan istimewa Sabah seperti yang termaktub dalam undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, undang-undang yang mewujudkan Persekutuan Malaysia, iaitu MA63. Tiada Malaysia tanpa MA63," tegasnya.

Sementara itu, Hajiji turut memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang komited menunaikan tanggungjawab Putrajaya melaksanakan MA63.

"Beliau belum pun memegang jawatan selama 100 hari tetapi kita sudah melihat kemajuan yang ketara. Kita akan terus meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membina Sabah dan Malaysia Madani yang progresif," katanya lagi.