KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menafikan berlakunya sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, fokus semua pihak ketika ini adalah kepada pemulihan ekonomi negara sambil menyifatkan tindakan ‘politiking’ berterusan ini hanya akan membantutkan usaha dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Tiada tindakan, saya tidak tahu jika ada apa-apa tindakan atau tidak. Sebab itu saya tidak mahu beri komen tentang sesuatu yang tidak sahih. Kenapa nak komen tentang perkara yang tidak boleh dipercayai?

“Tiada sesiapa dekati kami. Seperti yang diketahui GPS sekarang hanya fokus kepada usaha memastikan Malaysia kembali ke zaman kegemilangan melalui pemulihan ekonomi,” katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Kompleks CIDB Wilayah Sarawak, dekat sini pada Selasa.

Ditanya mengenai sama ada GPS akan menentang sebarang usaha menumbangkan Kerajaan Perpaduan, Fadillah menegaskan barisan wakil rakyat Sarawak diketuainya di Parlimen akan tetap mengutamakan kestabilan politik negara demi kebaikan rakyat, bersandarkan amanah sentimen pengundi mereka.

“GPS melalui Premier dan saya sendiri telah berulang kali menegaskan bahawa pendirian kita adalah mahukan kerajaan yang stabil, kerajaan yang kuat dan beri fokus kepada membawa Malaysia ke landasan tepat untuk memulihkan ekonomi negara, menjaga kebajikan rakyat serta ekonomi negara.

“Jika kita sentiasa berpolitik, Malaysia akan ketinggalan jauh daripada negara rantau Asia Tenggara lain,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, ada laporan sebuah portal berita mendakwa ada usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Madani dengan menggunakan individu berpengaruh untuk menarik sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen Barisan Nasional keluar parti dan merebut semula kerusi melalui Pilihan Raya Kecil atas tiket pembangkang.

Rancangan itu dikatakan susulan kegagalan usaha Perikatan Nasional (PN) memujuk Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membentuk majoriti menjadi Kerajaan.

Sehubungan itu, PN dikatakan menyasar Ahli Dewan Rakyat BN yang didakwa tidak berpuas hati sebelum ini dan turut perlu mendapatkan sokongan blok Borneo untuk menumpaskan Anwar yang baharu menjadi Perdana Menteri lima bulan lalu.