KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dianggap sebagai king maker kerana memiliki 18 kerusi di Dewan Rakyat bagi menentukan siapa yang memiliki majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi bagaimanapun berkata, pendirian GPS sentiasa konsisten iaitu menyokong pemimpin yang memperjuangkan hak rakyat Sarawak dan pada masa sama mengharapkan pemimpin itu mampu menstabilkan kembali iklim politik negara.

“Saya kira sokongan GPS adalah untuk menstabilkan politik negara. Sekiranya mana-mana pihak mendapat sokongan yang banyak dan juga boleh memberikan manfaat kepada Sarawak.

“Jadi apa tawaran terbaik PM baru itu untuk Sarawak. Apa yang yang boleh dilakukan calon PM itu dalam isu melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Adakah mereka akan teruskan cukai jualan negeri (SST) terus berlangsung. Sejauh mana penglibatan Sarawak dalam hak MA63 dan adakah lebih baik daripada PN lebih baik daripada Pakatan Harapan (PH).

“Jadi inilah yang naratif yang perlu dibawa calon PM, bukan hanya nombor sahaja,’’ katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.


Politik | PM letak jawatan 

Selain itu, Awang Azman turut menolak andaian segelintir pihak yang menyifatkan GPS perlu berada dalam pentadbiran kerajaan pusat jika mahu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang bekemungkinan diadakan tahun depan.

Ini kerana katanya situasi ketika ini tidak sama dengan sebelum ini berikutan penularan pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan sosial sekali gus mengubah landskap kempen pilihan raya.

‘’Memang mana mana government of the day penting memberi kemenangan besar dalam PRN Sarawak dan ini juga merupakan faktor yang diambil Sarawak untuk menang PRN dengan lebih baik.

‘’Tapi pada masa sama apabila berlaku COVID-19, pergerakan sosial mula dibataskan jadi pengaruh Kuala Lumpur agak terbatas.

‘’Sama ada di Putrajaya sebagai pembangkang atau kerajaan ruang untuk mereka bergerak dan kempen adalah terbatas.

‘’Jadi saya kira ini bukan faktor utama sebaliknya lebih kepada faktor pemberian pembangunan dan memberikan impak ekonomi yang lebih besar kepada Sarawak,” tambahnya lagi.

BACA: Agong perkenan peletakan jawatan, lantik Muhyiddin sebagai 'caretaker' PM - Istana Negara

Awang Azman berkata demikian sebagai respon selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan Istana Negara, susulan peletakan jawatan ini, Baginda berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Katanya, ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.


[TERKINI] Muhyiddin jalankan tugas 'caretaker' PM - Istana Negara