KUCHING: Pucuk pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memperincikan strategi kempen yang perlu digerakkan, bagi menyatakan sokongan kepada calon parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS, yang akan dipengerusikan Tan Sri Abang Johari Tun Openg malam ini.

"Malam nanti kita akan melihat apakah keperluan di peringkat parti yang bertanding, khususnya (mewakili) Kerajaan Perpaduan. Sekiranya memerlukan (penglibatan) saya secara langsung, saya bersedia (melaksanakannya) atas arahan Premier Sarawak (Abang Johari)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Kebangsaan Shell LiveWIRE di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata baru-baru ini, Menteri Persekutuan yang mewakili GPS telah mengadakan persefahaman dengan Kerajaan Perpaduan, untuk terlibat dalam program kementerian ketika musim PRN.

Pada 2 Julai lepas, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pemimpin GPS dapat turun padang membantu calon BN menghadapi PRN.

Ahmad Zahid berkata beliau mahu agenda kestabilan politik di Sarawak menjadi contoh, serta diguna pakai oleh jentera gabungan berkenaan semasa berkempen.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan serentak, dengan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian, manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos.

-- BERNAMA