Skip to main content

Politik

GPS sedia hadapi PRN Sarawak, jumlah kerusi bukan isu - Abang Johari

Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah kerusi yang bakal dipertandingkan nanti tidak akan menjadi isu. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sama ada dengan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada atau ditambah selepas persempadanan semula.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah kerusi yang bakal dipertandingkan nanti tidak akan menjadi isu.

“Kita tiada masalah. Jika 82 kerusi, maka 82 kerusi. Sekiranya 99 kerusi, maka 99 kerusi. Kita tiada masalah kerana tidak semestinya 99 kerusi jika tempohnya (pelaksanaan) tidak mencukupi,” katanya pada majlis pecah tanah perasmian tapak hospital swasta Regency Specialist Hospital Kuching di sini, hari ini.

Beliau berkata perkara utama ialah memastikan proses pilihan raya negeri dapat diteruskan mengikut peruntukan dan tempoh ditetapkan, tanpa bergantung pada keputusan persempadanan semula.

Pada Julai tahun lepas, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 untuk menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 99 kerusi.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan laporan terkini berhubung cadangan persempadanan semula bagi menambah kerusi DUN Sarawak.

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini dan Perdana Menteri turut menyatakan komitmen untuk melaksanakannya.

Mandat Kerajaan Negeri Sarawak akan tamat pada Februari 2027.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement