KUALA LUMPUR:
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyokong penuh cadangan untuk melantik lebih ramai Ahli Parlimen etnik Dayak sebagai Timbalan Menteri.

Menurut beliau, barisan pemimpin etnik minoriti seperti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan/Kenyah, Melanau serta Iban harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam Kerajaan Perpaduan.

Bahkan, kata beliau, Ahli-ahli Parlimen daripada kaum-kaum berkenaan sudah terbukti berkebolehan serta berpengalaman berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen, Senator, Timbalan Menteri dan salah seorang daripada mereka pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara.

Atas dasar itu, katanya, pengalaman luas barisan pemimpin ini perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam Kerajaan Perpaduan.

DIARI 100 HARI KERAJAAN PERPADUAN

"Tidak dilupakan, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri termasuklah calon daripada parti DAP.

"Formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan di kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan," kata Alexander lagi.

Beliau, dalam masa sama, memahami hak memilih dan melantik terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, kata Alexander, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak dalam GPS, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak kepada kerajaan Pusat.

Bahkan, beliau percaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama dengannya.

Ahli Parlimen Kapit itu juga percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbang perkata tersebut.

Beliau turut menasihati sesiapa pun yang akan dipilih kelak, haruslah mengambil amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.


[TERKINI] GPS sokong cadangan etnik minoriti dilantik jawatan Timbalan Menteri