Skip to main content

Hiburan

[KOLUMNIS] Penonton tak benci filem biopik, kita yang gagal bercerita

Selagi kita sibuk bercerita tentang "kapal" atau "kereta rali" dan terlupa tentang "manusia" di dalamnya, selagi kita menunggu restu sebelum berani bercerita, selagi itulah biopik kita akan terus tenggelam. Dan selagi itulah kita akan terus menyalahkan penonton kerana tidak sudi menonton.
Selagi kita sibuk bercerita tentang "kapal" atau "kereta rali" dan terlupa tentang "manusia" di dalamnya, selagi kita menunggu restu sebelum berani bercerita, selagi itulah biopik kita akan terus tenggelam. Dan selagi itulah kita akan terus menyalahkan penonton kerana tidak sudi menonton.

Advertisement

RATA-RATA orang berkata filem biopik Malaysia selalu gagal, dan Terbang menjadi bukti terbaharu.

Selepas seminggu ditayangkan di pawagam, kutipannya hanya sekitar RM1.2 juta.

Namron sendiri mengakui filem ini dibuat dengan baik, namun orang ramai tidak terpanggil untuk menontonnya dan beliau tidak menolak kemungkinan genre biopik menjadi antara faktor kurangnya sambutan.

Irfan Zaini pula berpendapat kutipan tiket bukan kayu ukur mutlak untuk menentukan sama ada sesebuah karya itu gagal.

Benar, kedua-duanya ada benarnya. Namun sebelum kita cepat membuat kesimpulan bahawa penonton Malaysia "tidak suka biopik", saya ingin mengajukan satu soalan yang lebih jujur.

Benarkah penonton gagal menghargainya? Atau kita yang sudah lama gagal memahami apa sebenarnya biopik?

Ini kerana data tidak menyokong teori bahawa "penonton tidak suka biopik."

Ambil contoh Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Syamsul Yusof, 2022) yang masih menjadi filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman di Malaysia, mencecah RM98 juta, sedangkan ia juga kisah tokoh sebenar.

Leftenan Adnan (Aziz M. Osman, 2000) yang menelan belanja RM2.5 juta pula berjaya mengutip RM4.8 juta.

Ola Bola (2016), karya pengarah yang sama dengan Terbang, meraih kutipan melebihi RM16 juta sedekad lalu.

Jelas sekali penonton tidak pernah menolak genre tersebut.

Sebaliknya, mereka menolak filem yang terasa seperti brosur, ceramah atau kempen.

Penonton sanggup beratur panjang untuk menonton kisah benar, asalkan kisah itu membuatkan mereka merasakan sesuatu, bukan sekadar diberitahu sesuatu.

Lihat sahaja di luar negara.

Filem biopik dengan kutipan tertinggi ketika ini ialah Michael (Antoine Fuqua, 2026) dengan lebih daripada AS$1 bilion, diikuti Oppenheimer (Christopher Nolan, 2023) dan Bohemian Rhapsody (Bryan Singer, 2018).

Dari sudut seni pula, judul seperti Schindler's List (Steven Spielberg, 1993), Raging Bull (Martin Scorsese, 1980) dan Lawrence of Arabia (David Lean, 1962) sentiasa disebut sebagai antara filem terbaik pernah dihasilkan.

Apa persamaan semua karya ini?

Tidak satu pun yang menjual pingat, rekod atau trofi.

Bohemian Rhapsody bukan tentang berapa juta album Queen terjual. Ia tentang kesunyian seorang lelaki yang dipuja seluruh dunia tetapi tidak mempunyai tempat untuk pulang.

Oppenheimer bukan tentang bom. Ia tentang rasa bersalah seorang manusia yang mencipta sesuatu yang akhirnya ditakutinya sendiri.

Raging Bull bukan tentang tinju. Ia tentang seorang lelaki yang memusnahkan hubungan dengan semua orang yang menyayanginya.

Mereka berjaya kerana berani menjadikan tokoh mereka seorang manusia, lengkap dengan kelemahan dan kecacatan.

Jadi, adakah kita tidak pandai menilai atau pembikinan kita yang kurang baik?

Saya rasa masalahnya lebih mendalam daripada itu.

Kita takut, dan kita juga terlalu bergantung kepada pihak tertentu.

Ambil contoh Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen arahan Bront Palarae.

Filem ini mengisahkan serbuan Guthrie pada 1981, saat Malaysia "merampas" kembali ladang-ladangnya daripada pegangan British di Bursa Saham London.

Skripnya ditulis oleh Redza Minhat dan Chew Kin Wah, dengan Shaheizy Sam membawakan watak Khalid Ibrahim.

Ini ialah kisah corporate heist paling berani dalam sejarah negara yang, jika berada di tangan Hollywood, mungkin sudah lama menjadi calon Oscar.

FINAS menyediakan dana pembangunan, Bront melancarkan kempen kutipan RM2 juta daripada peminat, namun akhirnya projek itu terkubur apabila SD Guthrie memutuskan untuk tidak membiayainya.

Akibatnya, filem itu tidak pernah dihasilkan.

Fikirkan sejenak.

Sebuah filem tentang sejarah sebuah syarikat terpaksa menunggu restu syarikat itu sendiri untuk wujud.

Itulah realiti biopik Malaysia.

Kita tidak mempunyai ekosistem yang berani membiayai kisah benar tanpa keizinan subjeknya.

Akhirnya, yang lahir hanyalah hagiography - karya yang menampilkan watak utama serba sempurna, konflik datang dari luar, dan pengakhiran yang sentiasa diiringi kibaran bendera.

Adakah pembikin filem menganggap penonton kita bodoh?

Mereka mampu menghidu video penghormatan dari jauh.

Sebab itu juga kita tidak pernah benar-benar meneroka potensi biopik tempatan.

Mana filem tentang Mokhtar Dahari?

Mana filem tentang Tun Dr Mahathir Mohamad yang berani memaparkan kedua-dua sisi wataknya?

Namun persoalan yang lebih penting ialah: adakah biopik semestinya mesti berkisar tentang seorang "tokoh"?

Ingat tragedi di Lebuhraya Karak?

Pada 28 Februari 1990, sekumpulan anggota FRU dari PULAPOL Kuala Lumpur dalam perjalanan ke latihan di Kuala Terengganu apabila nahas berlaku di KM31 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Sebelas anggota FRU daripada Trup 4B terkorban selepas trak mereka dirempuh sebuah bas ekspres, manakala empat orang awam turut maut.

Puncanya ialah sistem brek bas yang bermasalah ketika menuruni bukit.

Sebelas orang biasa.

Tanpa pingat.

Tanpa gelaran.

Sebelas keluarga yang sehingga hari ini masih hidup dan masih mampu bercerita.

Ada isteri yang menunggu di muka pintu, ada anak yang membesar tanpa ayah, ada rakan sepasukan yang terselamat namun memikul rasa bersalah sepanjang hayat.

Itu bukan sekadar berita lama.

Itu sebuah filem yang sedang menunggu untuk dihasilkan.

Dan inilah perkara yang paling mengganggu saya tentang Terbang.

Biopik kita tidak seimbang.

Sinopsisnya sendiri mempersoalkan sama ada pasukan PERT mampu menewaskan yang terbaik di dunia dan mencipta sejarah.

Fokusnya terarah kepada rali, kelajuan, selekoh dan podium.

Sedangkan unsur kemanusiaan sebenar dalam kisah Karamjit Singh "The Flying Sikh" ialah tentang isterinya yang sedang sakit.

Di situlah letaknya filem yang sebenar.

Bukan pada enjinnya, tetapi pada seorang suami yang memandu laju di litar sedangkan hatinya tertinggal di sisi katil insan yang disayangi.

Karamjit sendiri mengakui filem ini hanya kira-kira 60 peratus benar berdasarkan kisah hidupnya.

Persoalannya, 40 peratus lagi itu apa yang dipilih untuk ditinggalkan?

Dan mengapa yang ditinggalkan selalunya bahagian yang paling manusiawi?

Barangkali memang bukan peminat yang tidak berminat.

Sebaliknya, garapan kita terhadap biopik perlu dinilai semula dari akar umbi, daripada cara kita memilih subjek, membiayainya, sehinggalah kepada cara kita bercerita.

Titanic tidak pernah benar-benar tentang Titanic.

Ia tentang Jack dan Rose.

Kapal itu hanyalah latar, sekadar alasan untuk kita duduk selama tiga jam dan menangis untuk dua insan.

Selagi kita sibuk bercerita tentang "kapal" atau "kereta rali" dan terlupa tentang "manusia" di dalamnya, selagi kita menunggu restu sebelum berani bercerita, selagi itulah biopik kita akan terus tenggelam.

Dan selagi itulah kita akan terus menyalahkan penonton kerana tidak sudi menonton.

Wallahu'alam.


* Datuk Saniboey Mohd Ismail merupakan mantan wartawan, editor majalah, ketua jabatan di stesen televisyen tempatan dan satelit, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Belia & Sukan dan kini penerbit filem serta rancangan televisyen tempatan.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement