Sebarang keputusan kerajaan negeri Sarawak berhubung kemelut politik negara ketika ini adalah berdasarkan kepentingan negara.

Pada masa sama ia juga tidak menjejaskan serta mengorbankan hak dan kepentingan negeri itu.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri pada Rabu turut memaklumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tegaskan apa yang penting ketika ini adalah mengembalikan kestabilan politik negara.

Ini bagi membolehkan Malaysia terus bergerak ke hadapan.

Kenyataan sama turut menyebut bahawa ketika ini Malaysia masih berdepan ketidakstabilan ekonomi susulan daripada penularan wabak COVID-19 dan masalah ini perlu ditangani dengan efisien.

Bagaimanapun kerajaan negeri akan sentiasa mematuhi dan menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Billah Shah bagi menyelesaikan kemelut ketika ini.

Ia berdasarkan Perkara 40 (2) (a) dan (b), Perkara 43 (2) (a) dan Perkara 55 (2) yang dibaca bersama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.