GRS kini sebuah gabungan politik yang sah - Hajiji

Alexion Mairin
Mac 13, 2022 07:50 MYT
Jelas Hajiji, pendaftaran dibuat sebagai menyambut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor hari ini mengesahkan gabungan itu kini secara rasminya berdaftar sebagai sebuah badan politik.
Jelas Hajiji pihaknya sudah menerima sijil kelulusan pendaftaran bagi gabungan itu daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada Jumaat lalu.
"Pendaftaran ini dibuat sebagai menyambut permintaan rakyat yang ingin melihat GRS bergerak sebagai satu entiti politik yang sah dan rasmi selaku badan gabungan parti-parti yang ada di Sabah.
"Hasrat kita ialah untuk melihat negeri Sabah terus makmur dengan perpaduan serta kestabilan yang dapat mendorong agenda pembangunan," ujarnya
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pimpinan Datuk Peter Anthony di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di Kota Kinabalu pada Ahad.
Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut menyeru rakyat negeri itu untuk bersatu dengan mengenepikan sengketa politik demi kemakmuran Sabah.
"Tiada masa yang sesuai selain sekarang. Marilah kita hapuskan politik negatif dan remeh-temeh.
"Berbekalkan sumber serta kekuatan, sama-sama kita junjung mandat diberikan rakyat untuk kemakmuran negeri Sabah," tegasnya.
BACA: GRS bakal didaftarkan - Hajiji
#Gabungan Rakyat Sabah GRS #Datuk Hajiji Noor #Pendaftaran Pertubuhan Malaysia RoS #Sabah