Ringkasan AI
- Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada kepentingan Sabah dan gabungan berbanding kepentingan peribadi atau parti.
- Beliau menekankan perpaduan dalaman GRS penting untuk memperkukuh kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan dan mengelak perebutan kedudukan.
- Hajiji turut mengingatkan pemimpin agar tidak melupakan jasa ahli akar umbi dan menegaskan kerajaan perlu menyelesaikan masalah rakyat untuk meraih keyakinan pengundi.
KUDAT: Semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan itu berbanding kepentingan peribadi atau parti masing-masing bagi memperkukuh kuasa tawar-menawar negeri di peringkat Persekutuan, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu berkata kekuatan politik negeri dalam rundingan di peringkat Persekutuan perlu berteraskan kesepaduan dalaman GRS, bukannya dicemari perebutan kedudukan dan ego politik.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah kerana kekuatan Sabah sebenarnya bermula daripada perpaduan kita sendiri.
“Tidak ada parti (komponen) yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Pengerusi GRS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun, Tan Sri Anifah Aman, Tan Sri Liew Yun Fah, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Chin Su Phin serta Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk berkempen pada pilihan raya, sambil mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan jasa mereka selepas memperoleh kuasa.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk bergerak solo perlu dijadikan pengajaran bagi mematangkan proses membuat keputusan serta memperkukuh asas penubuhan GRS sejak 2020 demi kestabilan negeri.
Beliau menegaskan status sebagai parti tempatan sahaja tidak mencukupi untuk meraih keyakinan pengundi sekiranya kerajaan gagal menangani masalah harian rakyat dan menyediakan peluang ekonomi.
“Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap tetapi mampu menyelesaikan masalah kerana kita boleh menang berucap di atas pentas tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
-- BERNAMA