KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan, tindakan gabungan itu menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah demi menjaga kepentingan rakyat negeri itu.

Hajiji berkata, sokongan itu juga bagi mengekalkan kestabilan politik di Sabah.

"Saya telah menyampaikan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dan juga GRS kepada Anwar malam tadi.

"Demi kebaikan Sabah, kestabilan politik dan sebagainya, maka kita telah memberi sokongan kepada beliau dan kerajaan Pusat," katanya ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Jumaat.

Ditanya mengenai reaksi Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hajiji menyifatkan perkara itu tidak ada masalah kerana ia adalah keputusan dalam GRS.

Ini kerana, setiap keputusan yang dibuat adalah memikirkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

"GRS kita memberi keutamaan kepada Sabah... Jadi saya ingat Tan Sri (Muhyiddin) tahu akan hal ini dan beliau orang yang lebih bijak," katanya.