YAN: Keputusan Pas menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan dijangka akan mewujudkan krisis di dalam parti itu sendiri.

Menurut Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar ianya selepas kebanyakan ahli dan akar umbi Pas telah dipasakkan sejak sekian lama bahawa lambang yang mewakili parti itu adalah lambang 'bulan.

Bagaimanapun, tegasnya, Pakatan Harapan (PH) tidak bergantung kepada sebarang krisis yang berlaku khususnya membabitkan PN dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya kepercayaan rakyat akan diperoleh berteraskan rekod pentadbiran gabungan itu didalam kerajaan Melaka sebelum ini.

Beliau turut beranggapan bahawa keputusan yang dibuat Pas itu juga disifatkan sebagai perbuatan 'nusyuz' kepada UMNO yang mana parti itu lebih memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam membentuk kerjasama.

"Saya percaya bahawa (keputusan Pas gunakan logo PN) ini akan (menyebabkan) berlaku krisis dalam Pas, pengundi Pas (sebenarnya) telah dipasak dalam otak mereka bahawa (apabila) mengundi (perlu) lambang Pas, itu telah dipasak. Maknanya, dianggap lambang itu lambang keramat.

"(Jadi saya anggap) akan ada sedikit krisis dalam mereka, tetapi (bagi PRN Melaka), kita tidak bergantung kepada krisis mereka, kami (di dalam PH juga) tidak bergantung kepada perpecahan antara BN dengan PN, BN dengan Pas,

"Pas sebenarnya (saya sifatkan) sudah nusyuz kepada UMNO. Dulu dia setia, saya anggap dia nusyuz, sebab itu dia tak nak lagi bersama dengan UMNO," katanya.

Mahfuz berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi jambatan runtuh di Kampung Setul, Yan pada Khamis.

Selasa lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyatakan bahawa menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas telah meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

Jelasnya menerusi satu kenyataan, ketetapan itu mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.