KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat berkerusi roda ketika menghadiri Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN) di sini pada Sabtu.

Beliau yang turut terlibat dalam salah satu sesi wacana program berkenaan diiring dan dibantu untuk berjalan ke tempat duduk ketika menuruni tangga pentas.

Begitu juga selepas selesai sesi bergambar, Ahli Parlimen Marang itu sekali lagi dibantu untuk duduk di kerusi roda sebelum disorong keluar dari dewan.

Sebelum ini Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman dilapor berkata, Abdul Hadi berdepan masalah kesihatan selepas tidak kelihatan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada 26 Februari lalu.

Semasa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, kerusi Presiden Pas di barisan hadapan blok pembangkang dilihat kosong.

Bagaimanapun pada 1 Mac lau, Mohd Syahir yang juga setiausaha politik Abdul Hadi memaklumkan tahap kesihatan Abdul Hadi beransur pulih namun masih terhad selepas menerima rawatan susulan di hospital sejak hujung Februari lalu. - Sinar Harian