Hadi dijadual menghadap Sultan Perak esok

Astro Awani
Disember 14, 2020 05:41 MYT
Baru-baru ini, Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin bagi menyatakan niatnya untuk memberitahu mengenai 'situasi politik yang melibatkan Pas'. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memperkenan menerima menghadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Istana Kinta, Ipoh pada pukul 11 pagi Selasa.
Bernama melaporkan, Ahli Dewan Negara Perak Datuk Seri Mohd Annuar Zaini telah memaklumkan tentang tarikh untuk Abdul Hadi menghadap Sultan Perak.
Baru-baru ini, Abdul Hadi mengirim sepucuk surat ke istana untuk memohon menghadap Sultan Nazrin bagi menyatakan niatnya untuk memaklumkan mengenai 'situasi politik yang melibatkan Pas'.
Sebuah portal melaporkan Abdul Hadi memohon menghadap Sultan Perak untuk 'memohon pengampunan' ekoran keputusan membatalkan jadual menghadap tiga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pas ketika krisis politik Perak baru-baru ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG]: Saarani MB baharu Perak
Pas sebelum ini menjelaskan bahawa ia memutuskan untuk 'menangguhkan' menghadap Sultan Nazrin kerana kepemimpinan Pusat parti itu belum memutuskan sokongannya terhadap ADUN Kota Tampan, Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baru.
Parti itu juga menolak tuduhan bahawa ketidakhadiran itu merupakan tindakan derhaka terhadap sultan.
#Sultan Nazrin Shah #Sultan Perak #Abdul Hadi Awang #Mohd Annuar Zaini #menghadap #Istana Kinta #politik perak