KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengesahkan dakwaan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan bahawa beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) telah ditawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Kata beliau, tawaran itu diberikan kepada mereka dengan syarat menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami dah bincang perkara ini bersama Ahli Parlimen kita. Ada beberapa Ahli Parlimen kita menerima panggilan daripada beberapa pihak.

“Ada juga yang hantar melalui WhatsApp. Ada yang panggilan. Macam-macam cara yang mereka lakukan.

“Kalau kerajaan ini dah berasakan mereka mempunyai lebih dua pertiga sokongan, takut apa ini?

“Tak perlu nak kacau benda bukan-bukan ini. Saya nak bagi contoh, ada seorang tempoh hari, telefon Ahli Parlimen kita... Ramai…dalam kalangan kami ini pun ada juga,” dakwanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur hari ini.

Kenyataan Hamzah susulan pendedahan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan menerusi siaran langsung di TikTok malam tadi, mendakwa wujud usaha menarik keluar Ahli Parlimen parti itu termasuk tawaran menjadi pengerusi GLC.

Dalam sidang media sama, dua Ahli Parlimen PN, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh turut mendakwa menerima tawaran pembangunan projek di kawasan masing-masing.

Dr Ku Abd Rahman berkata beliau dihubungi menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang menawarkan projek pembinaan hotel di kawasan beliau.

“Saya dapat mesej daripada seseorang, rupanya dia sudah teliti latar belakang kita dan kaji kawasan saya.

“Dia cadang nak buka hotel butik di kawasan saya di belakang Darulaman Golf Club, saya terus block dia,” katanya.

Che Mohamad Zulkifly Jusoh pula mendedahkan beliau turut dihubungi seseorang bergelar Datuk menerusi emel, bercadang membina hotel 40 bilik di Parlimen Besut.

“Saya baru terima satu emel, cadangan pembangunan hotel 40 bilik dilengkapi kolam renang dan pasar raya runcit di Parlimen Besut,” ujarnya.

Menurut Hamzah lagi, itu adalah modus operandi biasa dilakukan untuk mendapatkan sokongan dengan cadangan projek pembangunan terlebih dahulu.

Tegasnya, selepas diadakan pertemuan, barulah dibuka cerita berhubung sokongan kepada kerajaan.