KUALA LUMPUR: Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad meluahkan rasa kecewanya dengan konflik pelantikan Menteri Besar Johor, terutama apabila Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak kembali menjawat jawatan itu.

Berikutan itu, Shahrir berkata, beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini.

"Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). UMNO sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

"Tapi itu tidak cukup kuat. Dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

"Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia hujung minggu ni.

"Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

BACA: Calon MB Johor: Hasni beri laluan kepada orang muda

BACA: Ahmad Zahid terus berteka-teki siapa MB Johor

Politik | Siapa Menteri Besar Johor ke-19?
 
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pada PAU yang akan diadakan beberapa hari lagi, beliau sepatutnya menjadi jurucakap untuk UMNO Johor .

"Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali di bawah kepimpinan Datuk Hasni," katanya lagi.


Petang Isnin, Hasni dalam satu kenyataan telah memohon agar orang muda diberi laluan untuk memimpin Kerajaan Negeri Johor.

Kata Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut itu lagi, cadangan itu berlandaskan faktor sokongan dan kedudukan anak muda yang penting dalam pembangunan Johor.

Terdahulu, terdapat tiga nama dikatakan yang telah disenarai pendek sebagai calon menteri besar iaitu Hasni, Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (ADUN Rengit).