KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menghentikan cerita-cerita palsu yang disebarkan penyebab beliau gagal menjadi perdana menteri hingga ke hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar menasihatkan Ahli Parlimen Port Dickson itu agar tidak meletakkan kegagalan menjadi perdana menteri disebabkan enggan  bersekongkol melepaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dari semua tuduhan yang dihadapinya sekarang.

Menurut beliau, Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri disebabkan kegagalan beliau meyakinkan Yang di-Pertuan Agong ketika diterima menghadap pada 2020 biarpun pernah mendakwa mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan.

"Sedangkan dokumen yang dipersembahkan, termasuk pengakuan individu tertentu,yang kemudiannya terbukti tidak mempunyai merit, malah dinafikan oleh ahli Parlimen sendiri.

"Cerita kononnya DSN (Datuk Seri Najib) mencadangkan calon lain,juga fitnah. DSN tidak banyak terlibat ketika itu.

"DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri) dikemukakan sebagai calon PM oleh permuafakatan ahli-ahli Parlimen BN,GPS,PN dan beberapa ahli Parlimen bebas. Kami ada merujuk dan berbincang dengan DSN.

"Kaedah "putar alam" ini eloklah diberhentikan,dan terimalah hakikat DSAI belum pernah mendapat cukup sokongan ahli Parlimen,walau ada pihak yang cuba cuba untuk menyokong DSAI," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Ahad.

BACA: Najib nafi minta Anwar gugurkan kes mahkamah

BACA: 'Saya tidak dipilih jadi PM kerana tak mahu lindungi Najib' - Anwar

Cerita tentang ahli Parlimen UMNO memberi sokongan untuk Anwar untuk menjadi perdana menteri timbul kembali selepas bekas Anggota Majlis Tertinggi parti itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan usaha mendapatkan akuan bersumpah (SD) bagi menjayakan hasrat pihak tertentu itu.

Berikutan pendedahan Tajuddin itu, terdapat pemimpin PKR yang tampil mendakwa bahawa apa yang diperkatakan Anwar dalam satu sidang media pada 2020 lalu adalah benar.

Beberapa hari selepas itu Anwar mendakwa keengganannya membatalkan kes mahkamah membabitkan pemimpin UMNO termasuk Najib menyebabkan beliau tidak dipilih sebagai pemimpin negara, meskipun sudah mempunyai bilangan SD yang mencukupi.

Sehari selepas itu, Najib menafikan dakwaan Anwar bahawa beliau pernah meminta Ketua Pembangkang itu untuk menggugurkan kes mahkamah sekiranya mahu disokong sebagai Perdana Menteri.