Satu himpunan besar-besaran akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 Feb depan untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata platform itu akan diguna untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawakan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.

"Himpunan ini bertemakan 'Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera', kita libatkan semua pihak yang 'cinta' (pindaan) Akta 355 tanpa mengira parti politik, latar belakang agama dan kaum," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga pengerusi himpunan itu berkata dianggarkan 300,000 orang akan menghadiri himpunan itu yang akan bermula pada 3 petang sehingga 11 malam.

Perhimpunan itu dianjurkan bersama Sekretariat Ummah, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Majlis Ulamak dan Umarak dan Pertubuhan Profesional Muslim Malaysia.

Abdul Hadi pada 24 Nov lepas membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian bernama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Presiden Pas itu bagaimanapun memohon huraian mengenainya dibuat pada sesi persidangan dewan akan datang memandangkan cadangan pindaan itu memerlukan pemahaman yang jelas serta masih ada kekeliruan dan polemik mengenainya dalam kalangan pelbagai pihak.

Persidangan Dewan Rakyat dijadual bermula pada 7 Mac ini selepas Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kelima, Majlis Parlimen Ke-13 disempurnakan pada 6 Mac.

Tuan Ibrahim berkata pembentangan pindaan akta itu dilihat mula mendapat maklum balas positif daripada semua pihak termasuk masyarakat di Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Himpunan 355, Nasrudin Hassan Tantawi, berkata Pas selaku penganjur utama mengundang semua parti politik untuk menyertai himpunan berkenaan termasuk DAP dan Parti Amanah Negara.

Beliau yang juga ketua penerangan Pas pusat berkata pihak berkenaan dijangka mendapat undangan bagi menghadiri himpunan itu dalam masa terdekat. -- Bernama