KUALA LUMPUR: Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham mengkritik  Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mempertikaikan usaha kerajaan mengembalikan semula kegemilangan bahasa Melayu.

Ikmal Hazlan berkata, kerisauan Ahli Parlimen Muar itu bahawa usaha tersebut hanya sebagai langkah untuk meraih sokongan bagi pilihan raya akan datang hanyalah polemik politik semata-mata.

Beliau menambah, selaku Ahli Parlimen yang diundi oleh rakyat secara demokratik, Syed Saddiq seharusnya berpandangan jauh dengan menggunakan laras hujah yang membina, dan bukannya yang berunsur provokatif.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya mengunakan dan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja di Malaysia malah di seantero dunia kerana ianya merupakan lambang jati diri warganegara dan sebagai lambang negara Malaysia di persada dunia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengambil contoh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76, Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda UMNO itu berkata utusan khas dari Korea Selatan telah menyampaikan ucapan mereka menggunakan bahasa rasmi negara itu.

Langkah yang diambil oleh utusan khas Korea Selatan itu, ujarnya bukan bermakna mereka menidakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi antarabangsa.

Bahkan, katanya bahasa Inggeris juga semakin digunakan di negara tersebut bagaimanapun ia menunjukkan bahawa pemimpin negara itu tidak merasa kekok dalam memperakukan dan mempertontonkan kejatidirian bangsa mereka di mata antarabangsa.

"Jelas, pemartabatan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa tidak seharusnya dipandang enteng atau dianggap sebagai tindakan yang menafikan kepentingan bahasa rasmi dunia, iaitu Bahasa Inggeris.

"Bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia, bukannya bahasa etnik yang terperosok jauh di penjuru global," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Ikmal Hazlan menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Syed Saddiq bertajuk “A Vision for language in Malaysia”.

Terdahulu, Presiden Parti Ikatan Demokratik (MUDA) itu berkata kerajaan mesti menyediakan pelan untuk menangani halangan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat supaya mereka tidak terlepas peluang ekonomi yang lebih besar.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan berbincang dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN dalam usaha memartabatkan bahasa ibunda Malaysia itu di peringkat antarabangsa.