Ini proses pemilihan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong

Fauzi Suhaimi
Februari 26, 2020 05:43 MYT
Berikut merupakan proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong. Gambar file
RAKYAT masih menunggu apakah status kedudukan badan eksekutif melibatkan pembentukan kerajaan Malaysia pada ketika ini.
Ini berikutan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh apabila surat peletakan jawatan beliau dihantar ke Istana Negara.
Namun adakah anda tahu apakah proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?
Berikut merupakan proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 32(1) perlu ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan
Ketua Utama Negara digelar Yang di-Pertuan Agong, hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana- mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
Perkara 39 Kuasa eksekutif Persekutuan
Terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri yang diberi kuasa Jemaah Menteri melalui undang-undang untuk memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
Perkara 41 Pemerintah tertinggi
Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.
Perlu diingatkan bahawa dalam pelantikan Perdana Menteri baharu, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara yang mutlak berdasarkan:
a. Perkara 40(2) yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(i) melantik seorang Perdana Menteri;
(ii) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen; dan
b. Perkara 43(2)(b) yang menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
#Dewan Rakyat #Ketua Utama Negara #Mahathir letak jawatan #Parlimen #Perdana Menteri #Perlembagaan Persekutuan #undang-undang #Yang di-Pertuan Agong