Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah disifatkan mempunyai nilai hemah dalam membuat keputusan selepas menitahkan seramai 221 Ahli Parlimen untuk memaklumkan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpandangan, Al-Sultan Abdullah secara jelas telah menzahirkan nilai-nilai kepimpinan Melayu yang didokong oleh Institusi Diraja.

“Jadi, ketika ini nilai-nilai ini terserlah dan kita lihat ia dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong, bukannya rakus. Kalau kita lihat ahli politik (segelintir bersifat) rakus sahaja dan semua nak cepat.

“Bagaimanapun, Agong telah berjaya memberitahu bahawa (keputusan memilih Perdana Menteri) ada adab dan protokol,” katanya pada program Buletin Khas AWANI, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut politik negara ketika ini adalah bagi memastikan tidak berlaku huru-hara dalam kalangan rakyat.

“Jadi ini konteks dan konsepnya yang sedang diamalkan yang memberikan rakyat ketenangan kerana saya (Al-Sultan Abdullah) sekarang ini adalah Raja kepada rakyat dan sekarang ini (baginda) buat sesuatu untuk rakyat,” ujarnya.

BACA: Semua Ahli Parlimen kecuali Tun M dititah menghadap Agong hari ini dan esok

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Al-Sultan Abdullah menitahkan kesemua 221 Ahli Parlimen kecuali Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadap baginda bermula hari ini dan esok.

Kesemua Ahli Parlimen akan dibahagikan kepada dua sesi temubual dengan Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim sehingga Perdana Menteri dan Kabinet baharu dibentuk.

Pada Isnin, Dr Mahathir mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, selain mengumumkan mengundur diri sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).