Instagram Chedet melonjak lebih setengah juta selepas PRU14!

Malik Ridhwan
Mei 11, 2018 07:28 MYT
Paparan skrin akaun Instagram @chedetofficial. - Sumber foto IG @chedetofficial
MENDADAK naik lebih setengah juta!
Dalam tempoh dua bulan selepas membuka akaun Instagram peribadinya, Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kini mempunyai 710,046 pengikut!
Apa yang lebih menarik, akaun Instagram @chedetofficial itu hanya mempunyai kira-kira 120,000 pengikut pada hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan jumlah itu meningkat lebih setengah juta dalam masa dua hari, sehingga ke saat ini.
Malah, 24 jam selepas memenangi PRU14, jumlah pengikut akaun beliau mencecah 648,000!
Percaya atau tidak, akaun yang berusia dua bulan itu juga telah mengatasi pengikut pendahulunya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya mempunyai 422,839 pengikut.
Tun Mahathir hanya mengikut tujuh akaun Instagram dan salah satunya adalah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Terbaharu akaun yang dimulakan pada 15 Mac 2018 itu memuat naik gambar hari pertama tugasan rasminya sebagai ketua kerajaan (dengan nada sinis) sekali lagi.
Semakan Astro AWANI (sewaktu artikel ini diterbitkan) mendapati, Tun Mahathir seorang yang sering menghiburkan netizen dengan meletakkan kapsyen foto yang bersahaja dan melucukan.
Ada kalanya, beliau suka beri punchline atau troll yang mencuit hati netizen, tidak kira di Instagram mahupun Twitter.
Baca lagi: 'Punchline' Tun M sepanjang PRU14 berbekas di hati netizen
Perdana Menteri berusia 92 tahun itu juga tidak ketinggalan untuk sentiasa memberi kemaskini mengenai pergerakannya melalui instastory beliau.
#followers #Instagram #Mahathir Mohamad #Malaysia Memilih #Perdana Menteri #pilihan raya umum #PRU14 #Twitter