MUAR: Orang Islam perlu menjadi pemimpin dalam usaha menjamin kestabilan serta keamanan kepada rakyat di negara ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia merupakan perkara yang perlu direalisasikan bermula dengan usaha penyatuan orang Melayu-Islam sebelum melibatkan kaum-kaum lain.

“Perjuangan Islam tak mati sampai ke hari ini dan ia (perjuangan) terus dihidupkan oleh kumpulan-kumpulan Islam.

“Di Malaysia, kita nak satukan orang Melayu-Islam ini...mereka kaum yang asal datang ke sini, kaum lain (bukan Islam), kemudian...maksudnya yang bukan ekstrem dan menentang Islam.

“Kita nak ajak kaum lain untuk bersama dengan kita, kita tak halang mereka...tetapi biarlah Islam yang memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Markas Pas Kawasan Bakri pada malam Sabtu.

Hadir sama, Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya; Datuk Dr Radzi Jidin, Pesuruhjaya Pas Johor; Abdullah Hussin, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu; Datuk Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar; Misbahul Munir dan calon Pilihan Raya Kecil (PRK), DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

Untuk rekod, PRK DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 24 Julai 2023 lalu.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, apabila orang Islam memimpin, sudah tentu undang-undang Islam melibatkan hukum hudud dan qisas akan dilaksanakan.

Bagaimanapun katanya, orang bukan Islam tidak perlu takut dengan pelaksanaan undang-undang Islam ini kerana ia lebih kepada usaha mendidik dan bukannya menyeksa.

“Ya, undang-undang Islam yang mengandungi hukum hudud, qisas ini keras. Tetapi ia bertujuan untuk mendidik masyarakat dan bukan menyeksa; kena cukup syarat saksi, syarat hakim, syarat keterang..susah; tetapi penjenayah takut sebab ia (udang-undang Islam), didik rakyat.

“Ini kerana hukuman dalam Islam hukuman yang tidak menyeksa. Hukum gantung, sebat tak sama dengan sivil...tak boleh cederakan, tak boleh pecah kulit, tak boleh angkat tangan tinggi daripada kepala dan sebat dalam undang-udang Islam disaksikan orang ramai untuk memalukan dan bukan menyeksa,” katanya. - Sinar Harian