KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pas Malaysia merangkap Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin, memaklumkan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri dipersetujui oleh semua pimpinan Perikatan Nasional sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.

Ia adalah berdasarkan kebolehan daripada pengalamannya menguruskan pandemik COVID-19 sejak memegang jawatan Menteri Pertahanan sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai tempoh hari.

“Ini bukan daripada pencalonan UMNO, ini calon daripada kami 25 orang yang bersama dalam Perikatan Nasional.

"Kita mencadangkan dan berada di belakang Datuk Seri Ismail Sabri.

“Jadi tak timbullah cerita nak letak calon Pas atau calon Bersatu dalam keadaan kita nak fokus kepada kestabilan politik,” jelasnya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Beliau mengakui terluka dengan tindakan 15 orang Ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri yang membawa kepada peletakan jawatannya dan pembubaran kerajaan.

Begitupun, justifikasi Pas yang mengetengahkan calon daripada UMNO itu adalah berdasarkan rasional terhadap situasi semasa yang memerlukan kesatuan untuk berdepan dengan musuh yang lebih besar dan penting.

“Kalaulah ditakdirkan tak adanya COVID-19 ini, pastinya kita akan meminta kepada Perdana Menteri untuk meminta Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan pembubaran Parlimen, dan kami yakin Agong barangkali akan bersetuju kerana keadaan tenang.

“Tapi sekarang adalah keadaan yang amat kritikal dan situlah titik daruratnya yang menyebabkan orang Pas atau pengikut dan penyokong Pas mampu menerima justifikasi yang telah ditetapkan oleh pimpinan Pas.

“Rasionalnya keadaan sekarang memerlukan semua tak kira pembangkang, kerajaan, NGO, NGI, rakyat kena menggabung tenaga fokus untuk selesaikan COVID-19,” tegasnya.

Apa pun, beliau berharap, siapa jua Perdana Menteri yang dipilih Agong nanti, beliau dapat meneraju kerajaan dengan memfokuskan terhadap dua perkara sepertimana dituntut dalam Al-Quran, iaitu menghilangkan lapar yakni menyelesaikan masalah ekonomi dan kebajikan, serta memberi ketenteraman kepada rakyat daripada ancaman wabak dahsyat ini.

Setidak-tidaknya, kerajaan baharu nanti meneruskan usaha kerjasama rentas parti melalui Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang telah disyorkan oleh kerajaan sebelum ini, katanya lagi.


Ismail Sabri adalah calon pilihan PN - Ketua Pemuda PAS


Terluka dengan UMNO, tetapi sokong atas rasional situasi semasa - Ketua Pemuda Pas


Dua perkara yang perlu dilakukan kerajaan baharu nanti, cadang Ketua Pemuda Pas