Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap isu cadangan "Low Yat 2" tidak akan menjejaskan hubungan antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini kerana dalam keadaan politik sekarang yang mana parti sedang diasak pembangkang, kesemua komponen BN seharusnya bersatu dan menjadi lebih kuat.

"Jangan kerana isu remeh dan isu disalah erti, kita bertelagah sesama sendiri. Dari segi semangat parti kita tetap wujudkan kesatuan kita, dengan syarat jangan tindas orang lain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Silaturrahim bersama Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung seluruh Kedah hari ini.

Baru-baru ini, Ismail mencadangkan supaya sebuah pusat sehenti produk telefon seakan-akan plaza Low Yat dibuka di bangunan MARA, khusus untuk peniaga Melayu dan Bumiputera.

Ismail juga berkata, pihaknya memutuskan untuk menganjurkan pertandingan mencipta nama bagi pusat jualan produk telefon dan aksesori seakan-akan Low Yat Plaza itu.

"Yang pasti, (namanya) bukan Low Yat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya akan melihat semula had umur Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang ketika ini ditetapkan pada 65 tahun.

Ia berikutan aduan terdapatnya Pengerusi JKKK yang masih berkeupayaan, popular dan masih diperlukan penduduk kampung namun terpaksa digugurkan secara automatik apabila berumur 65 tahun.

"Kalau ia (Pengerusi JKKK umur lebih 65) dapat permohonan dari penduduk kampung, dipersetujui ketua-ketua bahagian, dan rayuan dibuat kepada Menteri, mungkin kita boleh pertimbang dengan kebenaran khas Menteri," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata akan membawa perkara berkenaan semula ke kabinet untuk dibincangkan, memandangkan ketetapan had umur tersebut telah ditetapkan kabinet.