Tiada campur tangan politik dalam penyingkiran dekan bagi Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) kata Universiti Malaya (UM) pada Isnin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, pihak UM menjelaskan tempoh perkhidmatan Profesor Datuk Dr Mohammed Redzuan Othman tidak dilanjutkan berikutan proses pengundian yang telus.

"Bertentangan dengan laporan berita,keputusan tidak melanjutkan tempoh Redzuan itu adalah berdasarkan proses pengundian yang demokratik dan telus, dijalankan mengikut Perlembagaan Universiti Malaya 2010.

"Perlembagaan menyatakan Naib Canselor hendaklah melantik seorang dekan/pengarah daripada tiga calon disenarai pendek yang menerima markah tertinggi.

"Pengundian diadakan di antara 10 dan 12 Jun dan temubual diadakan dengan tiga calon antara 17 Jun dan 20 Jun," kata UM dalam kenyataan itu.

Selain Redzuan, dua lagi calon disenarai pendek untuk jawatan tersebut iaitu, Profesor Dr Md Sidin Ahmad dan Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Selepas mengambil kira tempoh persaraan Redzuan yang dijangka tahun depan, pihak pengurusan memutuskan untuk melantik dekan baru.

"Selepas perbincangan yang panjang, pihak pengurusan memutuskan melantik Md Sidin sebagai dekan baru bagi FSSS. kata kenyataan tersebut.

"UM menekankan bahawa amalan pengundian ini adalah satu proses biasa untuk memilih dekan bagi penggal akan datang selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat pada 30 Jun," kata kenyataan tersebut.

Berita penyingkiran Redzuan mendapat perhatian beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang membidas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

KPM dituduh campur tangan dalam urusan pentadbiran Universiti dan menjadi punca prestasi universiti tempatan yang merudum.

Selain pemimpin Pakatan Rakyat, bekas anggota Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengecam tindakan menyingkirkan Dr Mohamed Redzuan.

Malah Saifuddin turut mengambil keputusan meletakkan jawatannya sebagai Felo Penyelidik Kanan UM sebagai tanda solidariti terhadap Dr Mohamed Redzuan.