KUALA LUMPUR:Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu kesemua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bahawa beliau mampu mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, seterusnya mendapat majoriti bagi membentuk kerajaan, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam catatan terbaharu di blognya hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, atas tindakan Anwar itu, akhirnya Ahli-ahli Parlimen PH mengambil keputusan untuk menamakan Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai calon Perdana Menteri, dan bukan namanya lagi.

Dr Mahathir berkata, perkara itu terjadi ketika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah meminta 222 ahli Parlimen menamakan Perdana Menteri baru yang punyai sokongan majoriti ahli, melalui Akuan Bersumpah.

“Hakikatnya dia (Anwar) hanya disokong DAP, Amanah dan kumpulannya dalam PKR. Mereka berjumlah 92. Saya cuma mendapat 62 sokongan. Jadi kami berdua kalah.

“Semasa Tan Sri Muhyiddin dinamakan sebagai Perdana Menteri, dia tidak dapat sokongan majoriti. Tetapi setelah dilantik dia tawar jawatan Kabinet kepada ahli yang telah sokong saya. Mereka beralih sokongan dan Muhyiddin mendapat lebihan dua majoriti,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata demikian dalam catatan bertajuk “Tommy Thomas”, sebagai respons kepada dakwaan bekas Peguam Negara itu bahawa beliau punca Pakatan Harapan tumbang selepas hanya 22 bulan menerajui Putrajaya.

Pada Januari lepas, portal MalaysiaKini melaporkan Tommy sebagai berkata, Dr Mahathir campur tangan dan berkeras ingin menjadi Perdana Menteri sementara selepas Al-Sultan Abdullah mencadangkan Ahli Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah menyandang jawatan itu.

Selain itu, Tommy mendakwa Dr Mahathir juga merupakan punca kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hanya 22 bulan menerajui Putrajaya.

“Punca utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, Perdana Menteri, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Pemimpin PH bertanggungjawab atas kegagalan ini,” katanya seperti dipetik dalam buku memoirnya My Story: Justice In The Wilderness.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir terus konsisten mengatakan beliau telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu selepas parti itu hilang kepercayaan kepadanya.

Beliau berkata, memandangkan Bersatu mengambil keputusan sendiri untuk keluar daripada Pakatan Harapan, maka secara automatik pakatan itu sudah hilang majoriti, menyebabkan mereka bukan lagi Kerajaan, dan beliau juga tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

“Ya. Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat peletakan Kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam (seperti Tommy) tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Agong tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai Pemangku PM.

“Sama seperti saya, dia (Wan Azizah) juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Azmin dari PKR atau Parti Keadilan. Samalah juga dengan Kabinet,” jelasnya lagi.

Dr Mahathir berkata, beliau pada ketika itu berpendapat, tugasnya sebagai Perdana Menteri Interim ketika itu ialah segera menubuhkan Kerajaan, yang pada hemat beliau perlu bersifat Kerajaan Perpaduan tanpa mengira ideologi politik dan agenda peribadi.

“Tetapi saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi.

“Bayangkan bagaimana hala tuju Negara jika kesemua parti meletakkan negara ini sebagai matlamat utama,” katanya lagi.