Angkat nilai kemanusiaan menerusi lensa kamera

Orang ramai dijemput menyertai Pertandingan Fotografi Reportaj 2026, sebuah inisiatif yang mengangkat nilai kemanusiaan, keharmonian dan keindahan interaksi masyarakat menerusi lensa kamera.
KLANG: Orang ramai diundang untuk menyertai Pertandingan Fotografi Reportaj 2026, satu inisiatif yang mengangkat nilai kemanusiaan, keharmonian dan keindahan interaksi masyarakat menerusi lensa kamera.
Ringkasan AI
- Pertandingan Fotografi Reportaj 2026 di Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Selangor mengangkat nilai kemanusiaan, keharmonian, dan interaksi masyarakat menerusi lensa kamera.
- Dengan tema "Kehidupan Komuniti, Keharmonian Beragama dan Interaksi Manusia yang Tulen", pertandingan ini bertujuan memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
- Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan fokus kepada detik-detik kecil yang sarat dengan makna dalam kehidupan komuniti di Masjid Jamek Cina Muslim Klang.
"Fokus utama adalah kepada detik-detik kecil yang sarat dengan makna iaitu antaranya senyuman ikhlas, tangan yang menghulur bantuan dan langkah-langkah yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang.
"Pendekatan fotografi reportaj dipilih bagi memastikan setiap imej yang dipertandingkan bersifat asli serta mampu bercerita tanpa perlu diarah atau direka. Ia sekali gus menonjolkan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai pusat interaksi sosial dan keharmonian beragama," kata penganjur program Karnival Harmoni @Masjid Jamek Cina Muslim Klang Sofiah Choong Abdullah kepada Astro Awani.
Mengulas lanjut katanya, tema pertandingan, "Kehidupan Komuniti, Keharmonian Beragama dan Interaksi Manusia yang Tulen", selari dengan aspirasi untuk memupuk persefahaman serta perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kita percaya visual yang kuat mampu menjadi medium dakwah sosial yang merentas bahasa dan budaya, " kata Sofiah.
Pertandingan ini menawarkan hadiah utama berjumlah RM1,000, selain beberapa hadiah saguhati menarik kepada pemenang terpilih.
Setiap peserta dibenarkan menghantar satu penyertaan sahaja, menjadikan setiap rakaman benar-benar signifikan dan bernilai tinggi dari segi penceritaan visual.
Penyertaan dibuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang agama atau pengalaman fotografi.
Ini bagi memastikan pertandingan tersebut inklusif dan mencerminkan kepelbagaian sebenar masyarakat Malaysia.
Bagi yang berminat, pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan yang disediakan oleh penganjur.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 4 Januari 2026, jam 12 tengah hari, dan peserta digalakkan merancang kehadiran lebih awal sepanjang tempoh pertandingan.
Masjid Jamek Cina Muslim Klang dipilih sebagai lokasi kerana peranannya yang signifikan sebagai simbol Islam yang inklusif dan mesra komuniti, khususnya dalam menghubungkan masyarakat Cina Muslim dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, sebagai penganjur, Sofiah berharap pertandingan ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga platform untuk mendidik masyarakat agar lebih peka terhadap nilai kemanusiaan, toleransi dan keharmonian yang wujud di sekeliling mereka.
"Tangkap yang tulen, tangkap yang bermakna dan jadilah sebahagian daripada naratif perpaduan Malaysia melalui Pertandingan Fotografi Reportaj 2026, " kata beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


