Jamal 'muncul' lebih dua minit depan perwakilan

Sinar Harian
Jun 23, 2018 10:19 MYT
Kemunculannya itu hanya melalui tayangan rakaman video yang dipancarkan menerusi dua papan layar skrin di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar. - Foto fail
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos 'muncul' lebih dua minit di hadapan perwakilan Wanita bahagian itu, pagi tadi.
Bagaimanapun, kemunculannya itu hanya melalui tayangan rakaman video yang dipancarkan menerusi dua papan layar skrin di Bangunan UMNO Bahagian Sungai Besar.
Jamal dalam amanatnya kepada seluruh perwakilan UMNO bahagian itu berkata, meskipun berlaku pertandingan dalam UMNO, ahli parti diingatkan jangan sesekali berpecah-belah.
"Insya-ALLAH, perpaduan yang wujud di dalam UMNO Bahagian Sungai Besar ini tidak mudah untuk orang lain memecah-belahkan kita sebagai satu pasukan," katanya.
BACA: Pemuda UMNO Sungai Besar pilih Jamal
Beliau berkata, sebagai parti terkuat orang Melayu, UMNO amat menjunjung penuh sistem demokrasi yang diamalkan untuk menentukan calon terbaik.
Katanya, meskipun beliau tidak dapat hadir bersama-sama perwakilan peringkat sayap bahagian itu, namun jiwa dan raga beliau terus kekal utuh terhadap bahagian berkenaan.
"Saya juga mengucapkan terima kasih atas sokongan padu kepada saya dari dulu sehingga kini dan seterusnya," katanya.
Jamal sebelum ini dilaporkan menghilangkan diri selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri.
BACA: Jamal Yunos hilang
BACA: Polis akan cari Jamal sampai ke lubang cacing
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan waran tangkap terhadap Jamal telah dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ampang, 1 Jun lalu mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri daripada tahanan yang sah.
#Jamal Md Yunos #Ketua UMNO Bahagian #papan layar #rakaman #Sungai Besar #UMNO #video