KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan pemimpin UMNO yang ghairah mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera diadakan agar tidak membelakangi Yang Di-Pertuan Agong.

Mohamed Nazri mengingatkan pihak yang mahu Parlimen dibubarkan segera agar tidak mengheret Seri Paduka Baginda dalam kancah politik negara.

"Jangan kita mendesak kerana sebenarnya kuasa untuk membubarkan Parlimen adalah kuasa Yang Di-Pertuan Agong, bukan bila Perdana Menteri nasihat, Yang Di-Pertuan Agong kena buat.

"Perlembagaan kita bukan seperti itu, ia terpulang kepada budi bicara Yang Di-Pertuan Agong kerana baginda berhak untuk menolak nasihat Perdana Menteri atas alasan seperti pandemik yang masih berlarutan dan keadaan ekonomi rakyat yang belum stabil.

"Kita jangan mendesak dan tidak perlu menekan Yang Di-Pertuan Agong. Kalau kita menekan, ia seolah-olah kita mengheret baginda dalam kancah politik negara," katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri juga menegaskan kerajaan yang ada hari ini masih stabil dan tidak diancam oleh mana-mana pihak yang mahu menarik sokongan.

Malah tegas beliau, Pakatan Harapan (PH) juga ingin menyambung Perjanjian Persefahaman (MoU) yang akan tamat pada Julai nanti.

"Jangan pula dilihat UMNO yang memberi tekanan kepada kerajaan, jangan pula UMNO dilihat mahu menjatuhkan kerajaan yang mana perdana menterinya dari UMNO," katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan pemimpin UMNO yang mahu Parlimen dibubarkan bahawa rakyat akan menghukum pihak yang sengaja mahu mengadakan pilihan raya.

Mohamed Nazri memberi contoh kekalahan Parti Warisan di Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kerana Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

BACA: PAU 2021: Ini masa terbaik laksanakan PRU15 - Mohamad Hasan

"Di Melaka, tiga dari empat wakil rakyat yang menarik sokongan telah kalah bila mereka bertanding dalam PRN Melaka.

"Di Sarawak, dibubarkan kerana telah tamat tempoh dan di Johor pula kerana perlukan kestabilan maka ia amat berbeza dengan kerajaan pusat yang memang stabil sekarang.

"Jika UMNO mahu Parlimen dibubarkan, rakyat akan melihat UMNO mengambil kesempatan dan ini menyebabkan pengundi akan menolak UMNO dan BN," tegas beliau.

Mohamed Nazri juga berpendapat gesaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, datuk Seri Mohamad Hasan agar PRU15 diadakan tahun ini sebagai agenda peribadi bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

"Beliau (Mohamad Hasan) tahu kalau PRU15 dibuat sekarang dan BN menang, maka beliau akan jadi perdana menteri kerana (Datuk Seri) Ahmad Zahid (Hamidi) ada masalah.

"Jadi, ini adalah kepentingan peribadi bukan kepentingan rakyat," katanya.

Ketika berucap merasmikan persidangan sayap UMNO pada Rabu, Mohamad menegaskan tiada alasan untuk melengahkan PRU15 ketika UMNO dan BN kembali diyakini rakyat.