Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menggesa semua pihak agar dapat menerima kehadiran parti politik baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang telah diluluskan secara prinsip oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Jelasnya,semua pihak perlu menerima kelulusan PPBM secara terbuka dan bukan bertelingkah antara satu sama lain.

"Kita harapkan ada hubungan yang baik dan ia elok. Tetapi kalau nak bergaduh dan menimbulkan perkara tidak baik, tentu itu kita tidak suka apabila ia boleh menyebabkan pergaduhan dan kebencian," katanya ketika menghadiri Forum Kyoto-ASEAN di sini, hari ini.

Beliau yang turut mengulas pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin lalu berkata, ia masih awal untuk dibincangkan.

"Kita tidak tahu apa akan berlaku, sekiranya mereka hendak melakukan suatu kebaikan, ia tidak mempunyai masalah. Sekiranya mereka hendak membuat kekecohan seperti tuduh menuduh, itu adalah satu perkara yang tidak akan membawa kepada kebaikan,” katanya.

Isnin lalu, Tun Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengikuti kes Anwar yang menfailkan injunksi sementara bagi mencabar penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua pemimpin itu bertemu serta bersalaman dan situasi itu dipercayai merupakan kali pertama dirakam sejak pemecatan Anwar pada 18 tahun lalu.