KOTA BHARU: Ada kemungkinan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai ulasan beliau berhubung Muafakat Nasional (MN) disalah petik sehingga mencetus perdebatan.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, apa yang ingin dinyatakan oleh Abdul Hadi ialah dalam piagam MN, penyatuan ummah perlu dilaksanakan bukan hanya antara UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya, perlu dibuka kepada semua parti lain dan badan bukan kerajaan.

“Saya rasa Presiden Pas telah disalah petik. Sebenarnya, apa yang dia (Abdul Hadi) kata (ialah) apa pun kena ikut piagam. Semua kena ikut piagam MN yang telah ditandatangani antara Pas dan UMNO.

“Satu lagi MoU (memorandum persefahaman) saya nak sebut dengan jelas apa yang disebut oleh Presiden Pas, dalam piagam MN ini, penyatuan ummah perlu dilaksanakan bukan hanya (antara) UMNO dan Pas sahaja… mesti dibuka kepada semua parti lain, NGO dan orang perseorangan yang mempunyai cita-cita sama.

“Itu yang ditekankan oleh Presiden (Pas)… jangan hadkan penyatuan ummah itu antara Pas dan UMNO sahaja,” kata Takiyuddin.

BACA: UMNO tidak ikut piagam punca Pas tolak Muafakat Nasional

BACA: Muafakat Nasional bukan ditubuh dengan matlamat disertai Bersatu - Tok Mat

Justeru, Takiyuddin berkata, apa yang ingin disampaikan oleh Abdul Hadi adalah penyatuan ummah dalam piagam MN itu tidak hanya membabitkan dua parti semata-mata, sebaliknya, turut membuka ruang kepada pihak lain.

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berharap kenyataan abdul hadi itu tidak disalah ertikan.

Terdahulu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hassan menegaskan, parti itu tidak pernah mungkir janji pada piagam MN yang ditubuhkan dengan tidak menggariskan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi sebahagian daripadanya.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas menolak gagasan MN disebabkan UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui bersama.

Menurut Abdul Hadi, semasa MN dibentuk, piagam atau perjanjian yang dibuat menyatakan bahawa gabungan itu boleh menerima mana-mana parti lain termasuk Bersatu.