KUALA LUMPUR:Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dinasihat agar tidak sesekali mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Ketua Menteri Sabah yang menampakkannya sebagai seseorang yang cuba menjadi batu api demi untuk kepentingan peribadi.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Titiwangsa, Ad Adib Shaharuddin menegaskan, Ketua Pemuda UMNO Titiwangsa itu seharusnya sedar dinamik politik masa kini selain sentimen pengundi.

"Sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik, beliau seharusnya sedar bahawa dinamik politik masa kini memperlihatkan bahawa rakyat lebih memilih untuk mengundi sesebuah gagasan ataupun pakatan yang diyakini mereka berbanding memilih parti-parti politik tertentu semata-mata.

"Hal ini jelas kelihatan di dalam Pilihan Raya (PRN) Sabah yang menyasikan kemenangan gagasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai oleh Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan juga Parti Bersatu Sabah (PBS)," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Terdahulu, Nazir dilaporkan menggesa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ketua Menteri Sabah baharu dilantik daripada Bersatu.

Jelasnya, telah ada persefahaman bahawa BN akan menamakan Ketua Menteri jika GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Dalam pada itu kata Ad Adib, langkah Nazir dilihat sebagai terdesak daripada pemimpin UMNO Bahagian yang bercita-cita untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Di samping itu katanya, contoh pelantikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang diberi Nazir juga seperti kebudak-budakan.

"Nazir mungkin terlupa tanpa Bersatu di Perak, BN khususnya UMNO tidak mungkin akan dapat membentuk kerajaan negeri.

"Jika jawatan Menteri Besar Perak dan Ketua Menteri Sabah menjadi satu pertikaian buat beliau, Armada Bersatu Titiwangsa ingin bertanya apakah beliau lupa bahawa jawatan Ketua Menteri Melaka dan juga Menteri Besar Johor telah diberikan kepada UMNO hasil daripada perkongsian kuasa oleh semua pihak?" soalnya.

Terdahulu, GRS sebulat suara menamakan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman itu mengesahkan akan mengangkat sumpah pada pukul 10.30 pagi Selasa.