Datuk Seri Syed Ali Alhabshee memberi amaran kepada pemimpin politik agar tidak mempolitikkan isu atau hukum agama bagi meraih sokongan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berkata, perbuatan sedemikian hanya akan mencetuskan kekeliruan dan boleh memecahbelahkan perpaduan umat Islam di negara ini.

"Jangan jaja isu agama untuk tagih simpati dan undi, sebarang kekhilafan yang berlaku tidak sepatutnya dipolitikkan.

"Sejak akhir-akhir ini ada pihak sengaja mempolitikkan isu agama termasuk yang menyentuh soal hukum, perbuatan itu tidak menguntungkan umat Islam," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Beliau menyifatkan perbuatan mempolitikkan isu agama sebagai satu usaha terdesak untuk menagih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Kenapa baru sekarang beberapa isu berkaitan agama Islam dibangkit dan dipersoalkan oleh pemimpin Islam sendiri?

"Jelas, kumpulan tersebut begitu terdesak sehingga tergamak menjadikan agama sebagai agenda politik," tegasnya sambil berkata ianya amat memalukan kepada orang Islam.

Syed Ali mengingatkan, bukan Islam sedang memerhati perlakuan dan akhlak pemimpin Islam.

"Jika keburukan yang dipamerkan semestinya mereka memandang rendah terhadap kemulian agama Islam.

"Saya sedih sejak mutakhir ini, isu agama kembali dibangkitkan dengan membuat pelbagai tafsiran termasuk mengeluarkan pandangan yang mengelirukan," tegasnya.

Tambah beliau, golongan agamawan termasuk para alim ulama dan mufti yang sepatutnya mengeluarkan pandangan terhadap kekhilafan sesuatu isu membabitkan Islam.

"Apabila orang yang bukan ahlinya mengeluarkan pandangan atau fatwa berdasarkan hukum akal, nescaya akan mencetuskan kekeliruan," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu agama untuk menjaga kedudukan atau kepentingan politik.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut melahirkan rasa kesal kerana ada sesetengah pihak tidak menghormati pandangan atau saranan dikeluarkan oleh mufti di negara ini.

"Mufti adalah ilmuan agama yang dilantik atas perkenan raja-raja atau sultan sesebuah negeri selaku ketua agama Islam.

"Apabila mufti mengeluarkan pendapat untuk meleraikan kekhilafan sesuatu isu, bukan bermakna mufti memihak kepada pemerintah atau menjadi tali barut UMNO, seperti didakwa sesetengah pihak," tegasnya.

Katanya, tuduhan pihak tertentu kononnya kalangan mufti di negara ini memihak kepada parti pemerintah adalah tidak berasas sama sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali mengingatkan pemimpin UMNO supaya mengawal dan memelihara tingkah laku supaya tidak menjadi cemuhan rakyat.

"Sekarang zaman dunia digital, maklumat di hujung jari, apa sahaja perlakuan pemimpin terutama membabitkan UMNO akan diviralkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk dijadikan sentimen politik," jelasnya.

Katanya, penyebaran informasi tersebut bagaimanapun dilihat sarat dengan maklumat berupa fitnah, andaian dan berburuk sangka serta berniat jahat.

"Inilah taktik pembangakang menjelang PRU, mereka akan wujudkan pelbagai cerita tohmahan atau maklumat fitnah untuk memburukkan pemimpin UMNO," tegasnya.