Pemimpin UMNO di semua peringkat bahagian dinasihatkan supaya menjauhi budaya 'burung unta' yang boleh merosakkan parti.

Naib presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pemimpin yang seumpama itu gemar mengelakkan diri daripada masalah dan melepaskan beban kepada orang lain.

Menurut beliau, budaya seumpama itu harus dibendung jika tidak hubungan dan perpaduan dalam kalangan ahli dan pemimpin akan terjejas sekaligus melemahkan parti.

“Ini untuk kebaikan rakyat dimanapun kita berada sebagai pemimpin. Kalau kita berada di peringkat cawangan, jadilah pemimpin di peringkat cawangan yang baik. Kalau kita menjadi pemimpin di peringkat bahagian, jadilah pemimpin di peringkat bahagian yang baik apatah lagi jika kita berada di peringkat negeri dan nasional,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Pasir Salak, Sabtu.

“Jangan jadi macam burung unta tadi yang melepaskan tanggungjawab kepada orang lain,“ katanya lagi.

Turut hadir sama dalam mesyuarat perwakilan itu adalah ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman yang juga ketua UMNO bahagian Pasir Salak.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin seharusnya memberi perhatian kepada orang bawahan bagi memastikan perpaduan dan penyatuan ahli terus kekal.

Beliau penuh yakin jika jika amalan ini diteruskan, ia akan mantapkan kekuatan parti dengan memberi fokus kepada usaha menghadapi pilihan raya dan kemenangan parti.

Beliau turut mengingatkan jangan hanya waktu pemilihan dan menjelang pilihan raya sahaja mahu mengambil peduli tentang orang bawahan.

Ahmad Zahid berkata, jangan ada berlaku pemimpin 'musim buah' yang hanya muncul seketika tetapi selepas mendapat apa yang diinginkan, orang bawahan diabaikan.

Beliau juga mengingatkan ahli UMNO supaya menjaga dan memelihara parti keramat UMNO kerana ia tunjang kepada pemerintahan negara.

Pada majlis itu juga Ahmad Zahid menjadi 'orang tengah' dalam meleraikan hubungan dingin antara Tajudin dan ADUN Sungai Manik Datuk Zainol Fadzi Paharudin demi perpaduan dan kepentingan parti.