Jawatan penaung Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang disandang Tun Dr Mahathir Mohamad terlucut secara automatik apabila pemimpin itu mengisytiharkan keluar daripada UMNO.

Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata mesyuarat khas majlis tertinggi pertubuhan itu hari ini memutuskan untuk menghantar surat terima kasih kepada Dr Mahathir sebagai menghargai khidmat bekas perdana menteri itu.

"Kami ini (Mubarak) terdiri daripada bekas ahli-ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat yang semuanya ahli Barisan Nasional (BN).

"Objektif kita adalah untuk sokong BN. Apabila Tun Mahathir keluar dari UMNO dan bersekongkol dengan parti lawan, maka kita (Mubarak) membuat keputusan untuk ucap terima kasih kepada Tun (Dr Mahathir)," katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas majlis tertinggi pertubuhan itu di ibu negara hari ini.

Mubarak menandatangani kenyataan bersama dengan 42 NGO bagi menentang kumpulan yang mahu menjatuhkan perdana menteri. -Astro AWANI/Shahir Omar
Menurut Abdul Aziz, Dr Mahathir telah menyandang jawatan penaung sejak Mubarak ditubuhkan pada tahun 2005.

Pada majlis itu juga, Mubarak menandatangani kenyataan bersama dengan 42 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menentang kumpulan yang mahu menjatuhkan perdana menteri.


Abdul Aziz berkata kenyataan yang dipersetujui bersama itu adalah bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, usaha menjatuhkan perdana menteri menerusi deklarasi ditandatangani bekas perdana menteri Dr Mahathir bersama pimpinan pembangkang bertentangan dengan sistem demokrasi berperlembagaan.

"Rakyat perlu mengelak daripada cubaan bersekongkol dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak sah bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara.

"Mubarak bersama NGO menentang dan mengutuk gerakan pihak tertentu yang berhasrat menggulingkan kepimpinan Najib dan kerajaan.

"Sikap tidak wajar pihak berkepentingan akan hanya menjejaskan keselamatan negara, agama dan bangsa, sekali gus mewujudkan huru-hara berpanjangan seperti di Asia Barat," katanya.

Hadir sama menandatangani kenyataan bersama itu ialah Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Gaddafi Jamal Jamaludin.