KOTA BHARU: Jawatankuasa Bahagian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Gua Musang digantung susulan ketua bahagiannya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, keputusan pengantungan itu dibuat sejak sebulan lalu dan akan berkuat kuasa sehingga tarikh pengesahan pindaan pelembagaan parti terbabit disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurut beliau, situasi berbeza membabitkan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dengan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik walaupun kedua-duanya menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Di Jeli ahli Parlimennya itu bukan daripada kepimpinan Bersatu, jadi tidak ada masalah.

“Berbeza dengan Ahli Parlimen Gua Musang kerana beliau ialah Ketua Bahagian Bersatu Gua Musang,” katanya ketika ditemui pemberita di Jamuan Berbuka Puasa Bersama Media di Perdana Kota Bharu, di sini pada Khamis.

Ujar Kamaruddin, secara peribadi beliau masih berhubungan baik dengan kedua-dua ahli Parlimen terbabit namun dalam konteks organisasi parti, mereka sudah tidak mewakili Perikatan Nasional.

Jelas beliau, berhubung dakwaan Mohd Azizi yang dibuang daripada kumpulan Whatapps juga ada kaitan dengan sokongan yang dibuat terhadap kerajaan.

“Kami sudah tidak yakin untuk mempercayai beliau kerana pengisytiharan sokongan terhadap kerajaan dan pimpinan parti lawan menyebabkan perkara-perkara strategi tidak boleh dibincangkan dalam kumpulan WhatApps itu.

“Beliau juga sudah tidak lagi berada dalam kelompok wakil rakyat Bersatu dan PN selain tidak boleh mengatakan mereka wakil dari PN,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu meminda perlembagaan untuk melucutkan keahlian terhadap ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan (ADUN) dan Ahli Dewan Negeri yang menyokong pihak bertentangan atau musuh.

Pindaan dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu termasuk Zahari dan Mohd Azizi yang juga ADUN Nenggiri menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian