KUALA TERENGGANU: Pas Terengganu mempersoalkan tindakan kerajaan Persekutuan yang menggunakan sebuah sekolah di negeri itu untuk pelancaran jentera Perpaduan ketika siri Jelajah Perpaduan Madani, pada Jumaat ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Alias Razak berkata, situasi itu mencerminkan soal ketelusan pihak lawan dalam mengotakan apa yang dikatakan, di mana penggunaan aset kerajaan untuk tujuan berkempen adalah dilarang.

"Kerajaan telah melarang parti-parti politik melibatkan mana-mana agensi atau premis kerajaan dalam mana-mana aktiviti politik.

"Namun sangat mendukacitakan apabila larangan seperti itu tidak terpakai kepada parti politik pemerintah," katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, di sini pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan melancarkan jentera Perpaduan Terengganu dalam siri Jelajah Perpaduan Madani di padang Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, Kuala Terengganu.

Siri jelajah yang bermula 15 Julai di enam negeri itu berakhir di Terengganu Jumaat ini.

Berkait isu yang sama, Alias yang juga Ahli Parlimen Nerus itu mendakwa, dalam program Madani Afiat anjuran Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri itu baru-baru ini, terdapat pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan untuk mempromosikan parti serta calon mereka.

"Dalam program itu saya difahamkan ada ahli politik yang memakai pakaian yang melambangkan sebuah parti mengiringi petugas kesihatan terbabit. 

"Sekiranya ini benar, saya merasakan ini tidak patut berlaku, seolah-olah mengambarkan penjawat awam telah disalahgunakan oleh parti politik," ujarnya.