Skip to main content

Politik

Jika saling menguntungkan, Pas-PH mungkin bekerjasama - Penganalisis

[TB]_Pas Pakatan Harapan_FILEPIC
Selagi kerjasama itu tidak menggugat prinsip asasnya, mereka boleh bekerjasama, walaupun dengan PH sekalipun, ujar Mazlan Ali.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Pas dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tidak mustahil sekiranya percaturan itu memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali berkata, politik bersifat anjal dan Pas dilihat semakin terbuka dalam menentukan rakan strategiknya.

“Selagi kerjasama itu tidak menggugat prinsip asasnya, mereka boleh bekerjasama, walaupun dengan PH sekalipun,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI hari ini.

Menurutnya, Pas mempunyai sejarah kerjasama yang panjang dengan PKR dan DAP sejak pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Katanya, Pas menjadi antara penggerak utama Barisan Alternatif (1999-2004), sebelum memainkan peranan penting dalam Pakatan Rakyat (2008-2015).

“Bagaimanapun, beberapa isu membabitkan DAP gagal diselesaikan dan dianggap bercanggah dengan prinsip perjuangan Pas, menyebabkan kerjasama itu akhirnya terlerai,” katanya.

Justeru, katanya, permusuhan atau perbezaan terdahulu tidak semestinya menghalang sesebuah parti daripada membentuk kerjasama baharu berdasarkan keperluan semasa.

Jelasnya, kedudukan Pas yang memiliki jumlah kerusi Parlimen yang besar iaitu 43 kerusi memberi ruang lebih luas untuk memilih rakan bagi membentuk kerajaan.

Malah, Pas boleh mencari gabungan lain selepas PRU16 sekiranya parti yang bekerjasama dengannya ketika pilihan raya didapati tidak sesuai dalam pembentukan kerajaan.

“Parti yang bekerjasama dalam PRU16 itu tidak cocok dalam pembentukan kerajaan, Pas dengan bilangan kerusi yang banyak boleh mencari rakan lain,” katanya.

Image
Dr Mazlan Ali_FB Lebih Masa
Pas boleh memilih sesiapa sahaja, ujar Mazlan Ali.

Bagaimanapun, kenyataan Mazlan itu merupakan analisis mengenai kemungkinan kerjasama politik selepas PRU16 dan bukan pengesahan bahawa rundingan antara Pas dengan PH sedang berlangsung.

Menurut Mazlan, sebarang kerjasama perlu memberikan potensi kemenangan serta menjamin kedudukan Pas dalam usaha mengetuai kerajaan Persekutuan.

"Tergantung bagaimana Pas melihat rakan koalisi (gabungan) ini dapat menerima prinsip asas perjuangannya dan berpotensi menang untuk menubuhkan kerajaan,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan mengenai agenda penyatuan ummah setakat ini melibatkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, rundingan itu bukan sahaja melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Semenanjung, malah bakal diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Ditanya sama ada Pas bersedia menerima PKR dalam kerjasama berkenaan, Takiyuddin bagaimanapun menolak kemungkinan itu buat masa ini.

“Setakat ini tidak ada dan saya rasa tidak mungkin,” kata Takiyuddin ketika ditemui pemberita di Muktamar Pas ke-73 di Kota Bharu pada Sabtu.


 

Must Watch Video

Advertisement