KUALA LUMPUR : Jika benar PKR mahu berunding dengan ‘kluster mahkamah’ dari UMNO, tidak perlu sampai ada cubaan untuk mengubah sejarah, tegas Pengarah Biro Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong.

Dalam catatan di blognya, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu berkata, sepanjang minggu selepas Langkah Sheraton dari 23 ke 29 Feb 2020, beliau terlibat dalam banyak mesyuarat dan pertemuan bersama lingkaran dalaman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya lagi, setiap perbincangan dan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut mempunyai rekod dan nota peribadi.

Idea untuk menjemput Anwar membentuk kerajaan tanpa DAP, katanya lagi, tidak pernah bangkit, kerana tujuan asal yang utama Langkah Sheraton adalah mengeluarkan Anwar daripada sifir terbabit.

“Semalam (20 Mac), saya agak terkejut dengan pandangan seorang penyemak semula (revisionist), yang mengemukakan pandangan bahawa Anwar dijemput untuk menyertai Kerajaan Melayu, tetapi telah menolaknya kerana tidak ada penyertaan DAP.

“Barangkali pandangan itu dikemukakan sebagai peringatan kepada sesetengah pemimpin DAP untuk lebih ‘bersyukur’, dan tidak mempersoalkan motif Anwar berunding dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.

“Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan inisiatif PKR menubuhkan kerajaan melalui rundingan dengan ‘kluster mahkamah’. Tetapi ia boleh diteruskan tanpa mengubah fakta dan sejarah,” katanya lagi.

Pada 20 Mac lalu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, jika Anwar ingin jadi Perdana Menteri, beliau telah lama membawa PKR menyertai "Langkah Sheraton"

Ahli Parlimen Setiawangsa itu mendakwa, Anwar pernah ditawarkan menjadi sebahagian daripada “Langkah Sheraton” bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun katanya, ketua pembangkang itu tetap menolak dan memilih untuk setia bersama sekutunya dalam PH.

Susulan pendedahan itu, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berasa terkejut dengan kenyataan Nik Nazmi yang mengatakan Anwar dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton.

“Ini adalah kali pertama saya mendengar cerita bahawa Anwar telah dijemput untuk membawa PKR menyertai Langkah Sheraton, namun presiden PKR tersebut telah menolak tawaran untuk menyertai kerajaan baharu tersebut dan memilih untuk kekal setia dengan PH,” katanya.

Mengulas lanjut dakwaan Nik Nazmi itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, beliau telah berjumpa dengan Anwar berkali-kali selepas gerakan politik yang membawa kepada kejatuhan PH itu.

Namun, jelasnya, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak pernah sekalipun menyebut mengenai dakwaan itu.

“Saya telah berjumpa dengan Anwar beberapa kali dalam minggu-minggu selepas Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020, dan juga dalam bulan-bulan selepas itu, namun tidak ada sekali pun Anwar menceritakan mengenai Langkah Sheraton seperti yang diceritakan oleh Nik Nazmi ini,” jelasnya.

Untuk rekod, pada 16 Mac yang lalu, Anwar tidak menafikan kemungkinan berlaku kerjasama antara PKR dan UMNO tetapi menyifatkan ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, lima pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan bersama menolak kerjasama dengan pihak yang dirujuk sebagai 'kleptokrat'.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ketua Pemuda Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman; Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong; Pengasas bersama MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Baru Bian dari PSB.