LANGKAWI: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa beliau berkemungkinan besar akan bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya terdapat banyak permintaan daripada penyokong setianya.

Menurutnya, beliau ketika ini berada dalam keadaan serba salah memandangkan keputusan awal yang dibuatnya sebelum ini adalah tidak mahu bertanding lagi dalam PRU akan datang.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, keadaan yang berlaku ketika ini adalah sama seperti sewaktu beliau dicalonkan sebagai salah seorang calon yang mewakili Pakatan Harapan untuk bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU ke 14 yang lalu.

"Saya serba salah, saya tak mau bertanding tetapi orang (penyokong) asyik tekan (desak) saya (bertanding).

"(Situasi) macam hari itu juga (semasa PRU14), pun saya tidak mahu bertanding, tetapi orang tekan saya suruh saya bertanding juga.

"Jadi kalau dia 'tekan' kuat sangat, mungkinlah (saya bertanding lagi); kalau tidak berapa kuat, saya tak bertandinglah.

"Kalau orang datang berduyun-duyun di rumah (minta saya pertimbangkan, saya mungkin bertanding).

"(Contohnya) hari itu pun macam tu juga. (Apabila) saya letak jawatan, dalam seminggu (sahaja) datang beberapa rombongan minta saya do something."

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih, di Masjid Al-Ehsan Temonyong, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu memberi bayangan akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berikutan terdapat permintaan daripada penyokongnya yang tidak membenarkan beliau bersara.

Beliau yang pernah dua kali menerajui tampuk pemerintahan negara menegaskan, apabila mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRU15 sebelum ini, telah mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penyokongnya.

Beberapa bulan selepas itu, Dr Mahathir melalui menyatakan bahawa alasan usia yang sudah lanjut iaitu bakal menginjak ke angka 96 tahun berkemungkinan menjadi antara sebab untuk beliau tidak bertanding dalam PRU15 yang dipercayai akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.