Skip to main content

Politik

Kamil Munim ingatkan Zahid jangan angkuh, tak perlu ‘overclaim’ tentang peranan BN

IPOH, 28 Mac -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, bercakap pada sidang media sempena Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) 2.0 2026 Peringkat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) hari ini.
Ketua AMK, Kamil Munim mengkritik kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa kerajaan perpaduan tidak akan terbentuk tanpa BN, dengan menyifatkannya sebagai “overclaim”.

PETALING JAYA: Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan gabungan itu adalah sesuatu yang angkuh, dan tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik masa kini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd Kamil Munim berkata, dakwaan BN menjadi faktor utama pembentukan kerajaan sedia ada susulan sumbangan 30 kerusi Parlimen, tidak wajar dalam landskap politik semasa yang lebih kompleks dan berteraskan perkongsian kuasa.

“Tak perlu ‘overclaim’ begini. Kita semua tahu Kerajaan Perpaduan ini terbentuk hasil kerjasama banyak pihak, bukan sebab satu kumpulan saja. Tak usah berlagak macam kita lah yang terpaling,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan takkan dapat dibentuk tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen daripada gabungan itu.

Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, tanpa 30 kerusi BN itu, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mendapat majoriti di Parlimen untuk menerajui kerajaan semasa.

Dalam pada itu Kamil, yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menegaskan, kestabilan politik yang dinikmati negara hari ini bukan berpunca daripada dominasi mana-mana parti, sebaliknya lahir daripada sikap saling menghormati dan persefahaman antara semua komponen kerajaan.

Menurutnya, parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar di Parlimen juga tidak pernah mengambil pendekatan untuk mendabik dada sebagai penyelamat negara atau tonggak tunggal kestabilan politik.

“Parti yang ada kerusi paling banyak tak ada pun nak berlagak macam ‘kamilah penyelamat negara, kamilah tonggak utama kepada kestabilan politik negara’,” katanya.

Tambah Kamil, kestabilan yang wujud hari ini adalah hasil komitmen bersama untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan, bukannya melalui retorik politik yang angkuh.

“Kestabilan ini lahir daripada sikap saling menghormati dan persefahaman yang jitu dengan meletakkan keutamaan rakyat dan negara di hadapan, bukan dengan nada dan sikap yang angkuh dan sombong,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau turut menyindir masih terdapat pemimpin yang belum menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik semasa, meskipun rakyat kini semakin menuntut gaya kepimpinan yang lebih matang dan inklusif.

“Politik zaman ini dah berubah. Tapi nampaknya ada orang yang masih tak nak berubah,” katanya lagi.
 
 

 

Must Watch Video

Advertisement