PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar mana-mana pihak yang mendakwa bahawa mempunyai sokongan atau angka yang cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya, untuk membuktikan di sidang Parlimen yang akan diadakan penghujung bulan ini.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, beliau bukanlah seperti Perdana Menteri sebelum ini yang 'takut' untuk berhadapan dengan isu keabsahan kerajaan sehingga sanggup mengisytiharkan Proklamasi Darurat dan menangguhkan sidang Parlimen.

"Kalau benar ada angka, jangan mengigau, jangan sulitkan rakyat, cari ahli Parlimen yang menyokong mereka, bawa usul dan saya tidak akan mengelak daripada usul undi percaya atau tidak percaya sekiranya ada.

"Saya bukan jenis pimpinan yang kita lalui dahulu, yang memilih untuk lari dari kenyataan (berkaitan keabsahan) itu, (malah) mengisytiharkan darurat, tangguh sidang Parlimen.

"Jadi kita akan adakan sidang Parlimen dalam tempoh dua minggu ini, kalau ada angka bawa, dan saya akan berdepan dengan orang yang bawa usul itu di sidang Parlimen," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Aidilfitri sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang bersama Perdana Menteri, di UiTM Permatang Pauh, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, dengan kenyataan sedemikian, dapat mematikan segala isu berbangkit yang dilihat merosakkan dan menggugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Anwar secara tegas turut mengingatkan bahawa usul berkaitan keabsahan pentadbirannya sekiranya dibawa dalam sidang akan datang menjadi 'episod terakhir' dan tidak lagi dibangkitkan selepas ini.

Ianya bagi memastikan perhatian dapat ditumpukan kepada rancangan membangunkan negara terutama melalui kedudukan ekonomi yang semakin baik ketika ini.

Beliau juga memberikan amaran bahawa tindakan akan diambil selepas ini tanpa ada tolak ansur sekiranya wujud sabotaj berkaitan isu keabsahan berkenaan.