KUALA LUMPUR : Kecelaruan berhubung surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) melibatkan pemilihan UMNO, menguatkan lagi hujah umum bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah liabiliti kepada Kerajaan, ujar Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Dalam masa sama, Mohammad Tawfik menjelaskan, pengendalian usul dua jawatan utama, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan menyebabkan kekuatan kerajaan menjadi rapuh.

Justeru tegasnya, Ahmad Zahid disyorkan agar berehat seketika sebagai Presiden UMNO sehingga isu melibatkan proses pemilihan parti selesai.

"Langkah itu juga seperti mana beliau mengambil keputusan sama berehat dari jawatan Presiden suatu ketika dahulu dan boleh menyerahkan tugas jawatan mengemudi parti kepada timbalannya.

“Ahmad Zahid boleh fokuskan kepada tugasan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. Isu pemilihan ini bukan saja menjadi sasaran parti pembangkang, tetapi turut mendapat tekanan ahli dan pemimpin kanan UMNO sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA: Pemilihan UMNO: Saifuddin nafi buat keputusan peribadi, boleh cabar di mahkamah

BACA: 
Surat tular: Isham bidas kenyataan KJ

Sebelum ini, surat didakwa daripada RoS berhubung usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 supaya dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan tular di media sosial.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat mengesahkan kewujudan surat itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO, serta menyatakan usul tambahan dalam PAU2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, tekanan-tekanan itu merupakan beban kepada Presiden UMNO dan tidak sepatutnya memberi kesan negatif kepada masa depan serta keyakinan ahli serta rakyat kepada parti.

“Bagi saya Ahmad Zahid perlu mengambil tindakan berehat segera, jangan ditangguh lagi kerana semakin lama dibiarkan isu ini berlarutan akan lebih melemahkan UMNO sendiri,” katanya.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution bertegas, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan kementeriannya mengecualikan UMNO dalam keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, boleh mencabar perkara itu di mahkamah.

KDN sebelum itu memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.